Pengguna diesel di sempadan manfaatkan bantuan Budi Madani

Iklan
Pengguna dari Thailand tidak terkesan dengan penarikan subsidi negara kerana harga masih rendah berbanding negara jiran itu.

CHANGLUN - Pengguna kenderaan diesel di beberapa kawasan berdekatan sempadan memanfaatkan program bantuan tunai Budi Madani oleh kerajaan Persekutuan susulan penarikan subsidi diesel berkuat kuasa pada Isnin.

Tinjauan di beberapa stesen minyak sekitar Bukit Kayu Hitam dan Changlun mendapati kebanyakan pengguna kenderaan diesel menggunakan mekanisme subsidi bersasar bagi mengelak dikenakan kos tambahan.

Iklan
Iklan

Pihak berkuasa juga dilihat melakukan pemeriksaan terhadap pemandu kenderaan dengan nombor pendaftaran Thailand yang sedang mengisi minyak diesel pada kenderaan masing-masing.

Kebanyakan pengguna kenderaan diesel sudah memiliki kad fleet dan hanya segelintir masih belum membuat permohonan.

Iklan
Deventheren

Pemandu treler komersial, Deventheren Parasuraman, 50, berkata, majikannya sudah memperoleh kad fleet selepas mendapat kelulusan Sistem Peraturan Diesel Bersubsidi (SKDS) untuk terus menikmati subsidi diesel daripada kerajaan.

"Majikan saya beritahu supaya isi minyak seperti biasa. Kami telah diberi taklimat mengenai penarikan subsidi dan ia tidak jejaskan operasi perniagaan syarikat," katanya ketika ditemui di sebuah stesen minyak di sini pada Isnin.

Iklan

"Untuk mereka yang mempunyai lori persendirian atau trak pikap, agak sukar kerana kos telah meningkat lebih RM1.

"Tangki minyak untuk lori yang saya pandu boleh muatkan 350 liter. Sebelum ini, kosnya lebih RM700, hari ini kosnya lebih RM1,000, jadi individu lain (yang tidak terima subsidi) memang terkesan," katanya.

Seorang lelaki warganegara Thailand, Ban Alai You, 64, berkata, kenaikan harga diesel di negara ini tidak menghalangnya untuk mengisi bahan api itu di stesen minyak di Bukit Kayu Hitam.

"Saya dibenarkan untuk mengisi minyak di sini, bagi saya ia lebih baik kerana di Thailand, harga diesel juga meningkat tetapi lebih tinggi, sebanyak 15 hingga 17 baht (sekitar RM2) sejak beberapa hari lalu.

"Diesel sangat mahal di sana (Thailand). Saya rasa rakyat Malaysia sangat bernasib baik sebab walaupun harga naik tetapi masih murah berbanding negara jiran," kata pemilik bengkel itu.

Mad Rokib Che Mat, 25, dari Hatyai memaklumkan, kenaikan harga diesel di negara ini tidak terlalu membebankan kerana harga di Thailand lebih mahal.

"Ketika isi di Malaysia, tak rasa sangat beza kenaikan. Thailand lagi mahal, naik sehingga RM2 beberapa hari lepas. Ramai rakyat Thailand maklum tentang harga baharu ini namun tak lah setinggi macam di sana, bagi kami masih murah dan jimat,” katanya.

Sementara, penyedia perkhidmatan pindah rumah, Mohd Faiz Farouk, 33, berkata, selepas rakan-rakannya mendapat manfaat daripada inisiatif Budi Madani, dia segera memohon bantuan tersebut.

"Saya hanya dengar mengenai program bantuan tunai semalam daripada rakan-rakan yang telah mohon. Jadi saya pun segera buat permohonan. Setakat ini, saya belum terima apa-apa, saya yakin akan dapat bantuan tersebut, jika berjaya ia banyak bantu dalam perniagaan saya," katanya yang berasal dari Kuala Nerang.

Menurutnya, sebelum ini tidak mengetahui secara mendalam mengenai pendaftaran inisiatif Budi Madani, dan dibantu rakan-rakannya untuk membuat permohonan.

Seorang pesara penjawat awam, Mukhtar Majid, 60, tidak layak menerima bantuan tunai RM200 bawah program individu Budi Madani dan menerima keputusan dengan hati terbuka.

"Saya sudah mohon, malangnya ditolak kerana pendapatan isi rumah tahunan saya lebih RM100,000, saya mengusahakan bidang pertanian secara kecil-kecilan dan menggunakan trak pikap sebagai kenderaan perdagangan,” katanya.

Menurutnya, dia berhasrat untuk memohon semula bantuan tunai bawah program Komoditi Budi Madani pada masa akan datang.

"Saya faham ini adalah sebahagian daripada dasar subsidi bersasar yang dicadangkan kerajaan. Mudah-mudahan, ia menjadi usaha yang baik untuk rakyat kita," katanya.

Pada Ahad, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengumumkan harga diesel di semua stesen runcit di Semenanjung ditetapkan pada harga RM3.35 seliter berkuat kuasa 12.01 tengah malam Ahad.

Beliau berkata, ia merupakan harga pasaran yang belum disubsidi berdasarkan purata Mei 2024 mengikut formula Mekanisme Harga Automatik.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!