ALOR SETAR - Rakyat kemungkinan belum bersedia untuk menerima penarikan subsidi diesel yang diumumkan dalam tempoh singkat.
Presiden Persatuan Pengguna Kedah (Cake), Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, ini kerana penarikan subsidi bahan api itu akan mengundang kepada kenaikan harga barangan dan perkhidmatan lain yang berkaitan.
Menurutnya, ia akan membebankan pengguna diesel khususnya mereka yang tidak layak menerima subsidi bahan api itu yang ditawarkan kerajaan.
"Keputusan yang dibuat agak cepat dan tidak mustahil rakyat tidak bersedia dengan penghapusan subsidi diesel ini. Malah golongan yang tidak menerima subsidi akan lebih terkesan kerana terpaksa menanggung kos sara hidup lebih tinggi,” katanya di sini pada Isnin.
Menurutnya, walaupun diperkenalkan Budi Madani bagi pengguna kenderaan diesel, namun kebanyakan kenderaan yang menggunakan diesel tidak layak untuk memohon.
"Saya harap supaya perkara ini dapat diringankan. Apabila subsidi ditarik akan berlaku pelbagai masalah kepada pengguna khusus kepada golongan tercicir daripada skim subsidi bersasar,” ujarnya.
Mohamad Yusrizal berkata, setiap kali diperkenalkan sistem baharu seperti ini, pengguna akan berasa tertekan dengan perubahan, khususnya yang melibatkan kewangan.
"Sebelum ini pernah dilaksanakan subsidi bersasar seperti ini dengan pemberian tunai. Adakah dengan pemberian khas ini dapat meringankan beban pengguna untuk beli petrol? Ini yang menjadi persoalan.
"Pada 2007, diberikan tunai oleh kerajaan namun penerima tidak gunakan untuk pembelian petrol, sedangkan pengguna merungut ia beri kesan terhadap mereka. Untuk diesel pula diberikan kad fleet dan kesannya tetap ada,” jelasnya.
Menurutnya lagi, pada ketika itu, harga barangan melambung tinggi umpama pesta kenaikan harga dan rakyat kini kembali khuatir situasi sama akan berulang.
"Kebimbangan rakyat adalah apabila berlaku kenaikan harga diesel, akan berlaku kenaikan harga barang lagi selepas kenaikan sebelum ini. Inilah kebimbangan terhadap penarikan subsidi diesel yang dinaikkan sehingga 50 peratus.
"Diharap kerajaan akan menguatkuasakan undang-undang berkaitan berdasarkan kepada pengalaman lepas. Kemungkinan ada peniaga mengambil kesempatan sekiranya tidak dibuat penguatkuasaan tegas,” katanya.
Mohamad Yusrizal turut melahirkan kebimbangan sekiranya kenaikan harga diesel dijadikan alasan untuk peniaga yang keciciran daripada subsidi diesel menaikkan harga barangan.
"Secara asasnya, rakyat negara ini mempunyai hak untuk mendapatkan subsidi petrol dan diesel disebabkan Malaysia merupakan negara pengeluar minyak.
"Kerajaan melaksanakan subsidi bersasar supaya subsidi ini tidak tiris terutama kepada warga asing dan penyeludupan minyak. Aktiviti ketirisan atau penjualan petrol kepada warga asing adalah tanggungjawab kerajaan yang wajar dikenakan tindakan lebih tegas menerusi penguatkuasaan.
"Tidak perlu menyalahkan pengguna kerana pengguna tidak tahu apa-apa,” jelasnya lagi.
Pada Ahad, kerajaan menetapkan harga diesel di Semenanjung pada kadar RM3.35 seliter bermula Isnin selaras dengan perlaksanaan penyelarasan semula subsidi bahan api tersebut.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!