SOLIDARITI membawa maksud perpaduan. Namun sejauh manakah penghayatan individu dan masyarakat terhadap makna sebenar solidariti?
Adakah solidariti yang didambakan berpihak hanya kepada satu pihak dan mengabaikan pihak yang lain?
Penulis selaku mahasiswa dengan rasa tanggungjawab ingin membincangkan isu ini dengan lebih menyeluruh.
Kebelakangan ini isu peperangan dan penindasan di Palestin menjadi topik hangat pasca kekejaman Zionis Israel terhadap penduduk Palestin.
Adil dalam solidariti
Bagi melihat sama ada solidariti yang dianjurkan hari ini bersifat adil, selari dengan tuntutan Islam atau ada kekurangan yang perlu dibaiki, eloklah kita melihat kembali perintah ALLAH SWT dalam ayat ke-8 Surah al-Maidah:
"Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua kerana) sikap adil itu lebih hampir kepada takwa. Dan bertakwalah kepada ALLAH, sesungguhnya ALLAH MAHA TELITI terhadap apa yang kamu lakukan.”
Perintah ALLAH daripada ayat ini menyuruh kita berlaku adil dalam melakukan apa saja termasuk aktiviti sosial seperti bersolidariti.
Perkara ini berkait dengan isu solidariti kerana penulis melihat solidariti yang dianjurkan hanyalah tertumpu pada Palestin dan tumpuan yang sama tidak diberikan pada negara lain yang ditindas walaupun ia juga melibatkan umat Islam atau negara Islam itu sendiri.
Kita jarang atau kurang menunjukkan semangat solidariti yang sama terhadap komuniti lain yang ditindas seperti Uighur, Kashmir, Myanmar, Syria, Yemen dan Sudan.
Kalau ada sekali pun, tumpuan yang diberikan adalah sedikit, sekali-sekala dan tidak seluas tumpuan yang diberikan kepada isu Palestin.
Perlu konsisten, bukan fokus pada Palestin semata-mata
Niat masyarakat untuk bersolidariti melawan kekejaman adalah murni. Tiada siapa yang menyokong keganasan tidak kiralah ia dilakukan oleh mana-mana pihak sekalipun.
Justeru semangat melawan keganasan dan penindasan kepada umat Islam di negara lain perlulah konsisten dan diberi fokus yang meluas seperti keganasan di Palestin.
Hal ini kerana Islam tidak mengajar kita melakukan sesuatu kerana terikut-ikut trend atau majoriti semata-mata.
Bahkan sebagai manusia yang dikurniakan akal, kita juga perlu menilai keberkesanan sesuatu solusi yang kita ambil.
Sebagai contoh, apabila sesebuah negara mengatakan bantahan terhadap penindasan yang berlaku di Palestin, pada masa sama mereka juga memelihara hubungan diplomatik dengan sekutu negara yang menindas Palestin, bagaimana solidariti ini dapat menyelesaikan masalah?
Mungkin ada yang menyatakan sekurang-kurangnya kami melakukan sesuatu dari mendiamkan diri, tetapi adakah Islam mengajar kita membuat sesuatu atau memberi solusi yang bersifat jalan tengah dalam memelihara perkara yang hak dan mencegah yang batil?
Berat sebelah dalam solidariti
Apa yang penulis ingin sampaikan ialah kekurangan siaran dari pihak media dalam bentuk pendedahan, berita atau laporan dalam menghebohkan penindasan yang berlaku di negara-negara lain seperti di Yemen, Kashmir, Sudan, Uighur dan lain-lain.
Untuk memahami situasi ini dengan lebih jelas penulis bersama mahasiswa yang lain telah melakukan satu eksperimen sosial dengan mengadakan suatu tinjauan berkenaan topik solidariti ini.
Responden seramai 56 orang terdiri daripada golongan berumur 18 tahun ke atas dan penulis menumpukan kepada mahasiswa universiti sebagai responden utama.
Soalan yang diajukan adalah seperti berikut:
1 - Adakah anda kerap melihat tabung pertolongan atau saluran derma dalam talian untuk mangsa penindasan di negara Islam yang lain selain tabung Palestin?
2 - Pada pendapat anda, adakah pihak media lebih menumpukan berita tentang Isu Palestin berbanding isu yang berlaku di Kashmir, Uighur, Yemen, Syria dan lain-lain?
Data yang kami dapati daripada soalan pertama mendapati 76.6 peratus responden tidak pernah melihat sebarang tabung pertolongan selain Palestin.
Tidak dinafikan bersolidariti telah menjadi satu trend dalam sosial media. Pada masa sama trend ini menguntungkan segelintir pemimpin yang menggunakan isu penindasan Palestin sebagai salah satu cara untuk meraih sokongan, ‘political interest’ untuk membuktikan kepedulian mereka terhadap situasi yang berlaku.
Contohnya, lebih 16,000 rakyat Malaysia telah hadir Himpunan Malaysia Bersama Palestin pada Oktober tahun lalu di Axiata Arena, Kuala Lumpur.
Adakah kita pernah melihat ekspresi solidariti yang dahsyat seperti itu terhadap penindasan di Uighur, Syria, Kashmir, Yaman dan lain-lain?
Menjadikan Nabi Muhammad SAW sebagai contoh terbaik dalam solidariti
Masyarakat lebih gemar memandang pemimpin hari ini dalam bersolidariti sebagai rujukan. Ini menunjukkan bahawa masyarakat tidak lagi memandang Nabi Muhammad SAW sebagai uswatun hasanah (role model).
Pernahkah kita merenung sebentar bagaimana cara Nabi SAW dan sahabat baginda bersolidariti?
Sewaktu di Kota Makkah ketika Nabi menyampaikan kebenaran, terdapat umat yang ditindas lalu Nabi membantu mereka dengan penghijrahan mereka ke Habsyah.
Bagi mereka yang berkemampuan dari segi ekonomi seperti Abu Bakar As-Siddiq AS, beliau membantu umat Islam dengan membebaskan hamba seperti Bilal bin Rabah AS.
Bukan setakat itu sahaja, Nabi turut pergi ke Taif untuk berdakwah kepada penduduk di sana dengan harapan Islam dapat menubuhkan negara di sana walaupun usaha itu gagal.
Kemudian Nabi berhijrah ke Yathrib dan memulakan pemerintahan Islam di sini, lalu mereka yang ditindas dibawa berhijrah ke sini dan mendapat pembelaan yang sewajarnya.
Jelas usaha Nabi SAW di sini berpandukan wahyu ILAHI berkesan dan berterusan sehingga membuahkan hasil yang diinginkan iaitu isu penindasan diselesaikan.
Akhir kata, perlu kita melihat balik apa yang kita terlepas pandang. Kenapa kita bersolidariti dan ke mana akhirnya matlamat solidariti itu?
Dalam membuat sesuatu penilaian yang tepat dan adil perlu kita sebagai umat Islam mengukurnya dengan apa yang Islam berikan iaitu strategi Nabi dalam bersolidariti agar masalah tidak berterusan dan dapat diselesaikan.
***MUHAMMAD FARISH NAJMI MOHD FADZIL, MUHAMMAD DINIE HAIKAL SAM ABDULLAH & IDDIN AIRIL NASOHA merupakan mahasiswa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Pagoh, Johor.