BRUSSELS - Puak kanan tengah Kesatuan Eropah (EU) meraikan kemenangan selepas keputusan sementara untuk pilihan raya Parlimen Eropah meningkatkan peluang Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen untuk penggal kedua, dalam undian yang turut menyaksikan lonjakan pihak sayap kanan, lapor agensi berita Jerman (dpa).
"Hari ini adalah hari yang baik untuk EPP," kata von der Leyen ketika ramalan awal diumumkan pada Ahad malam, merujuk kepada kumpulan Parti Rakyat Eropah (EPP) yang berhaluan kanan tengah.
Dalam ucapan menyambut keputusan itu, von der Leyen berkata, beliau akan bekerjasama dengan kumpulan politik dari kiri tengah dan liberal yang pada asalnya menyokongnya untuk memenangi pelantikan semula.
EPP memenangi 184 kerusi dalam Parlimen Eropah, menurut keputusan sementara terkini daripada badan perundangan EU, menjadikannya kumpulan terbesar dengan margin yang selesa, diikuti oleh Sosialis dan Demokrat (S&D) kiri tengah dengan 139 kerusi.
Parti-parti liberal, bagaimanapun, jatuh daripada 102 kerusi kepada 80 kerusi manakala parti-parti Hijau juga dijangka kehilangan sejumlah besar kerusi Parlimen Eropah, turun daripada 71 kepada 52.
Kedua-dua kumpulan ini adalah sumber sokongan penting untuk von der Leyen dalam undi pengesahan yang berpotensi di Parlimen Eropah.
Pada hari pengundian terakhir Pilihan Raya Parlimen Eropah semalam, menyaksikan kira-kira 360 juta orang di 27 negara anggota EU yang layak mengundi selama empat hari.
Terdapat 720 kerusi yang dipertandingkan dalam badan perundangan EU, bermakna von der Leyen memerlukan 361 kerusi untuk majoriti.
Gabungan EPP, S&D dan liberal dijangka mempunyai lebih 400 kerusi.
Keputusan awal juga menunjukkan puak sayap kanan membuat kemunculan ketara di Jerman, Perancis dan Itali.
Keputusan terkini dijangka pada pukul 11 pagi (0900 GMT) daripada badan perundangan EU. - Bernama