'Tangguh dulu penyasaran subsidi diesel'

Iklan
Muhammad Ismi (gambar kecil) berkata, beliau bimbang jika ada pihak yang menangguk di air keruh terutama peniaga untuk menaikkan harga barang keperluan sesuka hati atas alasan kenaikan harga diesel.

IPOH - Kerajaan digesa mengkaji semula keputusan melaksanakan penyasaran subsidi diesel yang dilihat menekan rakyat.

Ahli Parlimen Parit, Muhammad Ismi Mat Taib berkata, ini kerana pengumuman itu dibuat ketika majoriti rakyat masih bergelut dengan pelbagai isu berkaitan kos sara hidup sekali gus menambah tekanan mereka.

Iklan
Iklan

Menurutnya, rakyat mengambil maklum beban kerajaan Persekutuan yang terpaksa menanggung kos subsidi diesel sebanyak RM1 bilion sebulan dengan anggaran kebocoran mencecah RM4.5 juta sehari.

"Namun, persoalannya kenapa beban itu dialihkan kepada rakyat sedangkan tugas utama kerajaan Persekutuan pada waktu ini adalah mengelakkan kebocoran yang berlaku ini.

Iklan

"Oleh itu, cadangan saya agar penyasaran subsidi diesel ini ditangguhkan dahulu agar usaha dan perancangan menangani isu kebocoran serius secara menyeluruh di seluruh negara dilaksanakan secepat mungkin, terutama aktiviti penyeludupan diesel ke negara jiran," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Muhammad Ismi berkata, pihaknya turut bimbang jika ada pihak yang menangguk di air keruh terutama peniaga untuk menaikkan harga barang keperluan sesuka hati atas alasan kenaikan harga diesel walaupun hakikatnya bukan semua peniaga terkesan dengan pengumuman itu.

Iklan

Sehubungan itu, beliau menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk terus bekerja keras bagi memastikan situasi harga barang keperluan tidak naik sewenang-wenangnya.

Terdahulu media melaporkan KPDN Perak mula melaksanakan pemantauan menerusi Ops Kesan 2.0 bagi memastikan tidak berlaku kenaikan harga barang keterlaluan susulan pelarasan harga runcit diesel yang diumum kerajaan.

Seramai 164 pegawai dan anggota penguat kuasa KPDN bersama 74 Pegawai Pemantau Harga digerakkan ke seluruh Perak bagi membuat pemantauan serta penguatkuasaan sepenuhnya berpandukan kepada Peraturan-Peraturan Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

Pada Ahad, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengumumkan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel yang membabitkan penetapan harga runcit diesel mengikut harga pasaran dilaksanakan serentak dengan bantuan bersasar untuk sektor logistik serta pengagihan bantuan tunai Budi Madani bermula tengah malam Isnin.

Susulan itu, kerajaan menetapkan harga runcit bahan api diesel pada RM3.35 seliter bermula Isnin di stesen minyak seluruh Semenanjung Malaysia.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!