Kerajaan patut tingkat penguatkuasaan, bendung penyeludupan diesel - Tuan Ibrahim

Iklan
Tuan Ibrahim

SHAH ALAM - Kerajaan digesa untuk mempertingkatkan lagi penguatkuasaan di sempadan negara bagi membendung penyeludupan minyak diesel berbanding terus menghapuskan subsidi diesel.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ia berikutan alasan kerajaan yang mengatakan harga baharu diesel dapat membantu mengurangkan perbuatan tersebut di Semananjung Malaysia.

Iklan
Iklan

"Kerajaan harus meminimakan kesan rantaian penghapusan subsidi minyak diesel ini yang bakal mengakibatkan kos sara hidup meningkat berkali ganda.

"Rakyat seperti sudah jatuh ditimpa tangga, ketika desakan hidup semakin meningkat melalui harga barang yang semakin mahal, kini tiba pula penghapusan subsidi diesel,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.

Iklan

Beliau berkata demikian bagi mengulas pengumuman Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan pada Ahad.

Media melaporkan, kerajaan menetapkan harga diesel di Semenanjung pada kadar RM3.35 seliter bermula Isnin selaras dengan pelaksanaan penyelarasan semula subsidi bahan api tersebut.

Iklan

Amir Hamzah berkata, penetapan dibuat mengikut harga pasaran tanpa subsidi berdasarkan purata bulan Mei 2024 mengikut formula 'Automatic Pricing Mechanism'.

Selain itu, menurut Tuan Ibrahim, perancangan kerajaan untuk membantu masyarakat seperti petani dilihat tidak dapat mencegah impak kenaikan harga bahan diesel.

Ujarnya, ini kerana bantuan subsidi melalui Program Bantuan Subsidi Madani (BUDI Agri-Komoditi) yang diberikan kepada pemilik kenderaan persendirian, petani dan pekebun kecil misalnya dilihat hanya sesuai untuk kenderaan kuasa enjin (cc) rendah serta melakukan perjalanan jarak dekat.

"Tambahan, syarat yang ditetapkan untuk petani ini sangat tidak munasabah apabila mereka yang hanya menghasil jualan sehingga RM4,166 sebulan sahaja layak mendapat subsidi minyak.

"Saya khuatir pekebun kecil diluar sana tidak dapat memenuhi syarat untuk menerima subsidi tersebut seterusnya menekan kehidupan mereka yang mana membiayai operasi yang semakin tinggi dan harga pasaran yang rendah,” jelasnya.