VIENNA - Sebuah pesawat milik Austrian Airlines berjaya mendarat cemas di Vienna selepas hujan batu meranapkan kon hidung pesawat dan menyebabkan keretakan pada tingkap hadapan kokpit.
Insiden cemas itu berlaku selepas penerbangan OS434 berdepan ribut hujan batu setelah meninggalkan Palma de Mallorca pada jam 3.55 petang (waktu tempatan) pada Ahad lalu.
"Kesemua penumpang selamat. Ia berdepan detik mengerikan itu ketika menghampiri Vienna dan ancaman hujan batu tersebut tidak terpampang pada radar cuaca
"Berdasarkan penilaian semasa, hujan batu itu turut menyebabkan kerosakan pada beberapa panel," ujar syarikat penerbangan itu dalam satu kenyataan.
Gambar yang menjadi tular menunjukkan radom hidung, bahagian aerodinamik yang menutupi bahagian depan pesawat tercabut sepenuhnya selain kesan lekuk akibat impak hujan batu tersebut.
Kedua-dua tingkap rosak teruk, namun masih utuh.
Difahamkan, pesawat sememangnya dibina untuk bertahan cuaca yang teruk termasuk hujan batu, sambaran kilat dan pergolakan udara.
Insiden pesawat berdepan cuaca buruk semakin kerap berlaku sejak akhir-akhir ini dan kali terakhir melibatkan pesawat Singapore Airlines hingga meragut satu nyawa penumpang manakala puluhan dilaporkan cedera. - Agensi
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!