BEREGU lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun meraih pengalaman berharga meskipun kalah dalam aksi final Terbuka Indonesia kepada pasangan nombor dua dunia, Liang Wei Keng-Wang Chang di Jakarta pada Ahad.
Pasangan yang menghuni ranking ke-20 dunia itu mengakui masih banyak yang mereka perlu pelajari daripada aspek mentaliti dan corak permainan.
Malah Wei Chong menyifatkan lawan dari China itu berada dalam kelas tersendiri yang mendorong mereka untuk berusaha dengan lebih gigih lagi selepas ini.
"Tidak begitu teruk (prestasi), namun masih banyak yang kami perlu belajar. Keyakinan, mentaliti dan perlu kerja lebih keras lagi untuk kejohanan akan datang," katanya.
Kai Wun-Wei Chong memberi tentangan sengit kepada pasangan lawan sebelum tewas 21-19, 16-21, 12-21 dalam permainan yang berlangsung di Istora Senayan itu.
Menerusi kemenangan itu, Wei Keng-Wang Chang membawa pulang hadiah berjumlah AS$96,200 (RM451,237), manakala Wei Chong-Kai Wun meraih AS$45,500 (RM213,422).
Kai Wun turut mendedahkan mereka bermain baik pada set pertama apabila berjaya mengawal gelanggang dengan corak permainan tersendiri, namun rentak tersebut 'hilang' pada dua pusingan berikutnya.
"Pada set pertama kami berjaya keluarkan corak permainan sebenar, namun memasuki dua set seterusnya pasangan lawan dapat rentak dan keyakinan mereka.
"Situasi itu mengubah gaya permainan kami dan pasangan lawan ambil kesempatan itu serta mereka bertambah yakin untuk menang," katanya.
Sebagai rekod hanya dua pasangan negara yang pernah merangkul gelaran tersebut iaitu menerusi Razif dan Jalani Sidek (1988 dan 1990) serta Zakry Latif-Fairuzizuan Tazari pada 2008.
Beregu utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik juga pernah sampai ke pentas final kejohanan itu pada edisi lalu, namun dikecewakan Chirag Shetty-Satwiksairaj Rankireddy dari India.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!