DALAM tempoh kurang 72 jam lagi, teka-teki siapa bakal dinobat Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan akan terjawab pada majlis Anugerah Sukan Negara (ASN) 2023.
Gelaran Olahragawan sebelum ini menjadi milik bekas juara dunia beregu lelaki badminton, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, manakala Olahragawai Kebangsaan pula menjadi milik gimnas negara, Ng Joe Ee.
Saingan merebut gelaran atlet lelaki terbaik kali ini menjadi lebih menarik kerana juara dunia bina badan enam kali, Datuk Mohd Syarul Azman Mahen Abdullah turut tersenarai dan mampu menjadi hadiah persaraan terbaik kerana ia satu-satunya gelaran belum berada dalam genggamannya.
Bagaimanapun, Syarul yang terkenal dengan gelaran Mike bakal menerima tentangan hebat daripada empat calon lain antaranya atlet karate yang juga pemenang pingat emas Sukan Asia Hangzhou, Arif Afifuddin Ab Malik.
Jaguh ekuastrian negara, Qabil Ambak Mahamad Fathil, Muhammad Rafiq Ismail (tenpin boling) dan Ng Eain Yow (skuasy) turut tersenarai dalam pencalonan akhir ASN 2023 yang menyaksikan peluang terbuka buat semua atlet.
Sementara itu, saingan bagi gelaran Olahragawati juga tidak kurang hebatnya apabila Sivasangari (juara Klasik London bertaraf emas jelajah dunia Persatuan Skuasy Profesional) bakal ditentang hebat oleh pemain tenpin boling wanita, Natasha Mohamed Roslan yang muncul juara dunia tahun lalu.
Tiga lagi nama berada dalam pencalonan akhir bagi gelaran Olahragawati adalah atlet muay thai, Nor Amisha Azrilrizal, Nur Shazrin Mohd Latif (pelayaran) dan Nurul Alyani Jamil (boling padang).
Bagi kategori Olahragawan Paralimpik, Bonnie Bunyau Gustin mengetuai senarai diikuti tiga atlet para olahraga, Muhammad Ziyad Zolkefli, Datuk Abdul Latif Romly, Muhammad Ammar Aiman Nor Azmi dan Muhammad Nur Syaiful Zulkafli (pararenang).
Lima pencalonan gelaran Olahragawati Paralimpik pula menyaksikan Nur Azlia Syafinaz Mohd Zais (para berbasikal), Nur Suraiya Muhamad Zamri (para berbasikal), Noor Askuzaimey Mat Salim (boccia), Angeline Melissa Anak Lawas (boccia) dan Jariah Zakaria (para boling padang).
ASN yang diperkenalkan sejak 1966 adalah pengiktirafan tertinggi kerajaan bagi menghargai kecemerlangan dicapai atlet, jurulatih, pegawai dan persatuan sukan kebangsaan setiap tahun.
Pemenang ASN 2021 iaitu jaguh berbasikal trek, Datuk Azizulhasni Awang tidak tersenarai bagi edisi kali ini.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!