SHAH ALAM - Ubah suai bot dengan ruangan khas selain gunakan bot kecil bagi membawa muatan diesel secara berulang kali menjadi taktik sindiket penyeludup yang menggunakan jalan laut.
Taktik itu terbongkar hasil tindakan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dalam usaha membanteras kegiatan penyeludupan diesel bersubsidi negara.
Pemangku Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim berkata, penguatkuasaan dijalankan di bawah Akta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia 2004 (Akta 633) dan Akta Kawalan Bekalan 1961.
Katanya, Maritim Malaysia antara agensi penguat kuasa yang terlibat dalam pelaksanaan Op Tiris yang diterajui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
"Selain itu, terdapat juga penyeludup menggunakan bot kecil bagi membawa diesel keluar dari negara ini dengan jumlah yang sedikit namun dibawa secara berulang kali agar kegiatan mereka tidak dapat dihidu oleh pihak penguat kuasa," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Beliau berkata, bagi tempoh lima bulan tahun ini setakat Mei, 11 kes tangkapan direkodkan dengan nilai rampasan diesel bernilai lebih RM1.3 juta.
Jelasnya, Maritim Malaysia telah menjalankan tanggungjawab dengan penuh komitmen dalam mengekang aktiviti terbabit.
"Pelaksanaan Op Tiris ini melibatkan seluruh perairan Zon Maritim Malaysia, merangkumi kawasan pantai barat dan timur Semenanjung Malaysia, Sabah, dan Sarawak," ujarnya.
Kata Saiful Lizan, selain Op Tiris, rondaan dan pemantauan akan dipertingkatkan daripada masa ke masa bagi mencegah aktiviti berkenaan daripada terus berleluasa.
Justeru, kata beliau, kerjasama orang ramai terutama komuniti maritim amat diperlukan bagi melaporkan sebarang maklumat dan salah laku yang berlaku di perairan negara.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!