243 warga ATM berangkat ke tanah suci

Iklan
Mohammad (tengah) mengaminkan bacaan doa dalam majlis pelepasan jemaah haji daripada kalangan warga ATM, pada Isnin.

KUALA LUMPUR - Seramai 243 jemaah haji dalam kalangan warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan keluarga berlepas ke Tanah Suci, pada Isnin.

ATM dalam kenyataan di Facebook rasminya memaklumkan, pelepasan bakal jemaah haji ATM itu disempurnakan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman di pekarangan Masjid Khalid bin Al-Walid, Kementah.

Iklan
Iklan

"Seramai 243 orang jemaah haji bersama seorang pengurus operasi, enam mutawwif dan tiga pegawai perubatan menjadikan jumlah seramai 253 dhuyufurrahman daripada ATM yang akan berangkat mengikut waktu penerbangan sama pada jam 2.15 pagi dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

"Mereka akan dibawa oleh tiga agensi berbeza yang dilantik oleh ATM iaitu Barakah UMHAJ Travel & Tours Sdn Bhd, TRI-D Travel & Tours Sdn Bhd dan MIMM Travel & Tours Sdn Bhd," katanya.

Iklan
Mohammad menyampaikan travel kit kepada bakal jemaah haji ATM dalam majlis pada Isnin.

Turut hadir di majlis itu ialah Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Hafizuddeain Jantan; Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Rahman Hj Ayob dan Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan.

Mohammad sebelum itu turut menyampaikan amanat ringkas kepada jemaah haji terlibat.

Iklan

Beliau kemudian menyampaikan 'travel kit' untuk jemaah haji dan 'medical cover kit' kepada pegawai perubatan yang akan bertugas sepanjang perjalanan ibadah tersebut.

Sebelum berangkatnya jemaah haji ke KLIA, laungan azan dikumandangkan oleh bilal bertugas dari Masjid Khalid Al Walid.

"Seluruh warga ATM mendoakan agar bakal-bakal jemaah haji ATM dipermudahkan segala urusan disepanjang menunaikan ibadah haji serta memperoleh haji yang mabrur hendak-Nya," ujar kenyataan itu.