KOTA BHARU - Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) bakal membangunkan Kesedar Industri Park (KIP) di Tanah Merah membabitkan kos keseluruhan iaitu lebih RM2 bilion.
Pengerusi Kesedar, Datuk Zawawi Othman berkata, kawasan perindustrian seluas lebih 130 hektar itu akan menjadi salah satu pemangkin ekonomi baharu di negeri ini.
Beliau memberitahu, industri utama di KIP juga tidak berunsur pencemaran dan memberi peluang lebih besar kepada sumber manusia serta ekonomi.
"Projek ini sudah dibincangkan dalam Mesyuarat Lembaga Projek Kesedar dan mungkin akan mengambil masa kerana membabitkan beberapa kementerian untuk merealisasikannya," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penghargaan Dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2023 Kesedar pada Isnin.
Hadir sama, Pengurus Besar Kesedar, W Muhd Rahimi W Salleh.
Zawawi memberitahu, lokasi kawasan perindustrian yang bersempadan dengan Thailand turut memudahkan perolehan bahan mentah dengan mudah.
Jelasnya lagi, projek terbabit akan mengambil kira penduduk Orang Asli dalam konteks tempat tinggal dan peluang kerja kepada golongan itu.
"Kita akan serahkan perkara ini kepada pengurusan Kesedar dan kajian perlu dilakukan lebih teliti supaya mereka turut bersama dalam projek besar ini," katanya.
Dalam pada itu, menurut Zawawi, Kesedar turut merancang merancakkan industri perhotelan di kawasan pedalaman sekali gus meningkatkan 300 peratus peluang pekerjaan.
Tambah beliau, sebanyak RM15 juta diperuntukkan untuk pembangunan hotel bertaraf dua atau tiga bintang itu.
"Kita berharap kemudahan berkenaan dapat menampung industri perhotelan dalam bidang pelancongan di kawasan pedalaman termasuk Gua Musang," katanya.
Pada majlis sama, Sinar Harian dan Media Prima Berhad dipilih sebagai media cetak dan media elektronik menerima Anugerah Khas Kesedar dan Sijil Penghargaan Kesedar.