Roboh rumah tanpa izin di Semporna, nilai aspek keselamatan - Fahmi

Iklan
Keadaan rumah yang hangus terbakar. Foto Borneo Komrad

PUTATAN - Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, aspek keselamatan Sabah dan Malaysia perlu diberi perhatian penting dalam menilai tindakan pihak berkuasa merobohkan rumah tanpa izin di perairan Taman Marin Tun Sakaran, Semporna baru-baru ini.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan itu berkata, sememangnya aspek kemanusiaan adalah penting dalam menilai perkara itu tetapi pada masa sama, negara tidak boleh berkompromi dengan aspek keselamatan apabila pulau terbabit mungkin digunakan secara tidak bertanggungjawab oleh pihak tertentu.

Iklan
Iklan

"Ini memandangkan kebanyakan pulau ini dalam kedudukan yang mungkin disalah guna oleh mana-mana pihak bagi tujuan membahayakan negara juga aktiviti melanggar undang-undang seperti penyeludupan dan sebagainya.

"Aspek kemanusiaan dan keselamatan ini pihak kerajaan kita terus teliti dan ambil tindakan berpatutan. Apa yang kita faham tindakan awal telah diambil oleh kerajaan negeri dan kita akan beri sokongan aspek keselamatan, pastikan tiada kesan negatif,” katanya.

Iklan

Bagaimanapun, Fahmi berkata, beliau kesal dengan tindakan membakar rumah terbabit yang sepatutnya tidak berlaku dan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat serta mengambil tindakan.

Pada Jumaat lepas, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Christina Liew berkata, 273 rumah tanpa izin di perairan itu telah diberikan notis arahan pengosongan yang diedarkan dari 2 hingga 4 Mei lepas sebelum tindakan perobohan dilakukan.

Iklan

Christina berkata, ia dilaksana atas faktor keselamatan di peringkat daerah susulan insiden tembakan di Teluk Darvel, Kunak selain kegiatan jenayah rentas sempadan di lokasi penempatan tanpa izin itu.

Tular di laman sosial baru-baru ini video perobohan rumah tanpa izin itu dan kediaman didakwa didiami etnik Pala’u yang tidak mempunyai kewarganegaraan juga dibakar dalam video tersebut. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!