Nizam Laksamana lega hasrat tercapai

Iklan
Antara barisan penyanyi yang membuat persembahan pada Showcase Amal Artis Lagenda 4.0.

MESKIPUN pernah meluahkan hasrat untuk membatalkan Showcase Amal Artis Lagenda 4.0, penganjur Nizam Laksamana meluahkan rasa syukur selepas acara yang dirancang pada 1 Jun lalu berjalan dengan sempurna.

Menurut Nizam, hasil daripada showcase amal dengan tema #darikawanuntukkawan dapat disalurkan kepada Persatuan Cancer Survivors Malaysia termasuk penggiat seni, pengamal media serta bekas pesakit kanser.

Iklan
Iklan

Ujarnya, biarpun nilai sumbangan yang disalurkan tidaklah besar untuk dibanggakan tetapi pengorbanan dan sumbangan barisan artis yang menjayakan persembahan pada malam tersebut cukup menyentuh hati.

Ini kerana ada sebahagian artis tidak mengambil bayaran atau sebahagian bayaran disumbangkan semula untuk menjayakan showcase yang sudah masuk ke edisi terakhir itu.

Iklan
Nizam Laksamana

"Alhamdulillah semuanya mencapai sasaran. Asalnya hanya 50 meja disediakan tapi apabila sambutan menggalakkan, pihak Grand Barakah Hotel menaja 20 buah meja, di mana setiap meja akan dipenuhi oleh 10 orang penonton.

"Jadi wang itu dapat disalurkan kepada lebih ramai, sama ada secara terus pada malam showcase itu atau menerusi pemindahan perbankan," katanya kepada Sinar Harian.

Iklan

Antara penerima sumbangan adalah pelakon Isma Alif, Jalil Hamid, penyanyi Dwan OLAN, Nik Putra, Ezam EYE, Malek Zabarjad, Ali XPDC, Yazid Sejati bekas wartawan Rosli Manah, Huzz, Nas Ahmad dan rakan industri Johan Aziz dan Ridzuan Abdul Rahman.

Showcase Amal Artis Lagenda turut menyampaikan sumbangan berjumlah RM10,000 kepada pihak Cancer Survivor Malaysia serta RM1,000 kepada pesakit kanser otak (medulloblastoma) iaitu adik Nur Umairah Abdul Rahman yang berumur 10 tahun.

Tambah Nizam, lebih mengharukan apabila Presiden Persatuan Karyawan, Datuk Freddie Fernandez turut turun sebagai tanda sokongan dan menyalurkan bantuan sebanyak RM1,000 kepada Cancer Survivor Malaysia.

"Datuk Freddie ada hubungi saya bertanya khabar, apa yang boleh dibantu. Inisiatif yang beliau lakukan buat saya rasa terharu.

"Saya tak pandang berapa jumlah yang mahu diberi, tetapi keprihatinan ditunjukkan. Bukankah lebih elok ada lebih ramai presieden atau persatuan seperti Karyawan?

"Cuma saya faham, mungkin masing-masing ada kekangan," ujarnya.

Menerusi showcase yang diadakan pada 1 Jun lalu, kira-kira 620 tetamu dihiburkan dengan persembahan istimewa oleh Nizam bersama rakan artis lain seperti Tam Spider, Ameng Spring, Mawi, Dwen, Ady WOW, Wann, Acong Sweetchild, Zarul Umbrella, Shafie RIO dan Zamani SLAM.

Nizam berkata, apa yang penting, penganjuran kali ini mencapai objektif dan mereka dapat menyantuni pesakit dan bekas pesakit kanser.

"Apa yang boleh saya katakan sekarang adalah Alhamdulillah kerana penganjuran Showcase 4.0 tetap mendapat sambutan hangat seperti mana penganjuran Showcase 1.0,2.0 dan 3.0. Ada peminat dari Singapura dan Brunei yang turut untuk memberi sokongan kepada projek ini.

"Showcase ini bukan semata-mata hiburan saja, sebaliknya adalah tempat perjumpaan antara peminat dengan penyanyi kegemaran mereka,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!