Insiden Ulu Tiram: Polis Kelantan tingkat sistem pertahanan 57 balai

Iklan
Muhamad Zaki (tengah) bergambar dengan pegawai dan anggota yang bertugas di Kontinjen Kelantan.

KOTA BHARU - Polis Kelantan meningkatkan sistem pertahanan dan keselamatan di kesemua 57 balai di negeri ini terutama yang terletak di kawasan terpencil.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, langkah dilaksanakan dengan memperkemas sistem sedia ada meliputi aspek pencahayaan, membaiki kerosakan kemudahan selain memperkemas sistem keluar masuk senjata api.

Iklan
Iklan

"Sudah ada prosedur operasi standard (SOP) bagi sistem pertahanan balai, cuma lanjutan daripada insiden yang berlaku di Ulu Tiram, Johor, kami perkemaskan lagi sistem ini.

"Mana-mana balai yang tidak cukup pencahayaan ataupun ada kerosakan akan dibaiki selain melihat dan memperkemaskan sistem keluar masuk senjata serta penggunaannya,” kata beliau kepada pemberita selepas Perhimpunan Bulanan 2024 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini, pada Selasa.

Muhamad Zaki

Iklan

Muhamad Zaki mengulas lanjut, arahan diberikan kepada semua ketua polis daerah untuk mengumpulkan maklumat berkaitan yang akan dibentangkan dalam mesyuarat pada hari sama.

Kata beliau, pihaknya perlu sentiasa bersiap sedia dari segi individu polis itu sendiri dan juga tempat mereka bertugas.

Iklan

"Bukan sahaja balai, IPK atau pondok polis tetapi tahap keselamatan di tempat tinggal atau berek-berek juga perlu ditingkatkan.

"Kami akan memastikan berek-berek juga selesa untuk dihuni oleh pegawai dan anggota supaya keselamatan mereka terjamin,” katanya.

Muhamad Zaki (tengah) memakaikan pangkat Sarjan Mejar kepada anggotanya sempena perhimpunan bulanan di IPK.

Dalam kejadian pada 17 Mei lalu, Balai Polis Ulu Tiram di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam, Johor diserang seorang lelaki berparang menyebabkan dua anggota polis terbunuh.

Kejadian berlaku pada jam 2.15 pagi mengorbankan Allahyarham Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar dan Allahyarham Konstabel Muhammad Syafiq Ahmad Said Ahmad.

Suspek berusia 21 tahun itu bagaimanapun mati ditembak di lokasi kejadian oleh seorang anggota polis di balai terbabit.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!