PKNS lancar Selangor International Race 2024

Iklan
SIR 2024 melibatkan laluan sejauh 145 kilometer ini mendapat sokongan pelbagai pihak sebagai rakan strategik

SHAH ALAM - Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) merancakkan kalendar berbasikal negara dengan melancarkan Selangor International Race (SIR) 2024 di sini pada Selasa.

Acara ini dijangka menghimpunkan seramai 1,000 pelumba dari 10 negara selain Malaysia iaitu Great Britain, Jepun, Singapura, Brunei, Australia, Indonesia, Filipina, Bangladesh dan Jerman.

Iklan
Iklan

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKNS, Datuk Mahmud Abbas berkata, dengan penyertaan meluas, SIR diadakan 23 Jun menjadi acara dinantikan peminat basikal pelbagai latar belakang.

"SIR bukan hanya menyediakan platform kepada pelumba basikal tempatan menonjolkan bakat mereka, malah menarik peserta luar negara untuk sama bersaing dalam acara berprestij ini," katanya.

Iklan

Beliau ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pra Pelancaran Selangor International Race 2024 (SIR 2024) di Pusat Konvensyen Shah Alam di Seksyen 14 di sini pada Selasa.

SIR 2024 melibatkan laluan sejauh 145 kilometer (km) bermula dari Bangunan Ibu Pejabat PKNS dan merentasi lebuh raya, laluan berbukit serta di sekitar projek serta perbandaran PKNS.

Jersi baharu turut dilancarkan pada majlis lra pelancaran pada Selasa.

Iklan

Antaranya, Kota Puteri yang terkenal dengan perlombongan arang batu satu ketika dahulu manakala laluan baharu melibatkan Denai Alam, Elmina, Kuang, Kundang, Unisel dan Pekan Ijok.

Menurut Mahmud, kejayaan acara ini pada siri pertama tahun lalu membuktikan komitmen Selangor dalam membangunkan sukan berbasikal di peringkat tempatan dan global dengan memberi tumpuan kepada penganjuran acara berkualiti tinggi yang menarik minat pelumba basikal dari seluruh dunia.

Ujarnya, ia bukan hanya mendorong pertumbuhan sukan berbasikal dalam kalangan penduduk tetapi turut membantu mengukuh kedudukan Selangor sebagai destinasi pelancongan sukan yang berkembang pesat.

"Selain itu, SIR turut memberi peluang kepada pemangkin ekonomi setempat apabila meningkatkan perbelanjaan pelancongan dalam pelbagai aspek seperti penginapan, makanan dan perkhidmatan lain.

"Pertambahan aktiviti ekonomi dalam sektor ini bukan hanya memberi manfaat kepada pemilik perniagaan tempatan, malah pekerja tempatan yang mungkin mendapat peluang pekerjaan sementara,” katanya.

Menawarkan pelbagai hadiah kemenangan menarik, SIR 2024 terbahagi kepada dua kategori pelumbaan iaitu profesional dan amatur dengan pelbagai kategori peringkat umur.

Mahmud (tengah) menyempurnakan Majlis Pra Pelancaran Selangor International Race 2024 di Pusat Konvensyen Shah Alam di Seksyen 14 pada Selasa.

Menariknya, perlumbaan kali ini dapat disaksikan secara penstriman langsung dan setiap peserta akan mendapat kelebihan dalam bentuk rakaman khusus untuk mereka secara video diperibadikan.

Sementara itu, pasukan Malaysia telah mengesahkan penyertaan ialah Team Aquatwo Cyclomotion, Malaysia Pro Cycling Team, TSG Academy, MSN Terengganu, PDRM, ATM, Selangor State Cycling Team, Perak State Cycling Team, Putrajaya State Cycling Team dan Gruppetto Propain.

Mengulas lanjut Mahmud berkata, acara ini pasti menjadi satu peristiwa penting bagi semua peminat sukan berbasikal untuk berkongsi pengalaman berlumba sambil menikmati keindahan landskap Selangor di sepanjang laluan perlumbaan.

Bagi menunjukkan komitmen dan sokongannya kepada acara ini, beliau turut mengambil bahagian di dalam acara VIP Ride sejauh 20 km selepas selesai acara pelepasan peserta disempurnakan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj.

Untuk maklumat lanjut mengenai acara, sila layari laman sesawang https://selangorrace.com.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!