KULIM - Empat mangsa cedera dalam kemalangan membabitkan 13 kenderaan termasuk sebuah treler di Kilometer 21 Lebuhraya BKE menghala ke Baling dekat sini pada Selasa.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulim, Penolong Penguasa Bomba Hamizul Azwan Hamdan berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam berhubung kemalangan terbabit pada jam 7.37 pagi.
Menurutnya, sepasukan anggota dari BBP Kulim yang diketuai Zaidi Yaacob bergegas ke lokasi kejadian bersama sembilan anggota.
"Setibanya di lokasi, didapati berlaku kemalangan membabitkan 13 kenderaan dan empat mangsa termasuk seorang wanita berjaya diselamatkan oleh orang awam sebelum bomba tiba.
"Kesemua mereka dihantar ke Hospital Kulim untuk mendapatkan rawatan lanjut," katanya dalam kenyataan di sini pada Selasa.
Menurutnya, anggota bertugas kemudiannya membersihkan keadaan jalan bagi mengelakkan bahaya dan memudahkan pergerakan kenderaan di kawasan itu.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!