Rayuan pendakwaan pembebasan Yasin kes dadah, 22 Ogos

Iklan
Yasin (kiri) hadir di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Selasa bagi prosiding sebutan kes rayuan pendakwaan terhadap pembebasannya berhubung kes dadah.

SHAH ALAM – [DIKEMAS KINI] Rayuan pihak pendakwaan terhadap pembebasan penyanyi dan komposer, Yasin Sulaiman atas tuduhan kes dadah tahun lalu ditetapkan di Mahkamah Tinggi di sini pada 22 Ogos depan.

Penolong Kanan Pendaftar, Azmi Aman turut memutuskan hujahan bertulis difailkan oleh pihak pendakwaan dan pembelaan pada 15 Julai sementara hujahan balas 29 Julai.

Iklan
Iklan

Azmi berkata, ketika pendengaran prosiding, semua pihak boleh membuat hujahan lanjut berkaitan isu kes.

"Mahkamah Tinggi akan membuat keputusan pada hari sama atau mohon tarikh lain untuk keputusan,” katanya.

Iklan

Sementara itu, ketika ditemui di luar mahkamah, peguam, Ariff Azami Hussein yang mewakili Yasin, 49, atau nama sebenarnya Muhammad Yasin Sulaiman berkata, mereka akan berusaha untuk mempertahankan anak guamnya.

"Kita serahkan kepada kebijaksanaan Mahkamah Tinggi untuk memutuskan yang terbaik, sesuai dengan fakta serta keterangan diperoleh,” katanya yang mewakili Muhammad Yasin selaku responden.

Iklan

Dalam prosiding itu, pendakwaan sebagai pemohon, diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Lokman Kasim.

Sementara itu, Muhammad Yasin menzahirkan rasa terharu apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan artis lain melawatnya ketika menerima rawatan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak.

Penyanyi yang popular dengan lagu ‘Mimpi Laila’ itu berkata, tindakan itu secara tidak langsung memberikan sokongan moral, dalam menjalani rawatan penyakit bipolar yang dihadapi.

"Penyakit yang dihadapi bukan lakonan tapi saya hadapinya sejak 15 tahun lalu, malah, gangguan emosi tersebut pernah dilaporkan oleh akhbar tempatan dengan tajuk 'Yasin Gila Isim' pada 2009.

"Bermula tahun itu, ia berlaku dengan kerap dengan kali terakhir ialah sekitar awal tahun 2022,” katanya.

Pada 6 Julai dua tahun lalu, Muhammad Yasin bernasib baik apabila tidak berdepan peruntukan hukuman gantung sampai mati atas pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis seberat 214 gram.

Ia selepas pendakwaan memaklumkan pertuduhan mengedar dadah ditarik balik dan penyanyi dituduh semula atas pertuduhan baharu iaitu memiliki dadah seberat 193.7 gram.

Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah kondominium di Persiaran Surian Damansara Indah Resort Home, PJU 3, Kota Damansara di sini jam 5.30 petang pada 24 Mac 2022 dan dituduh mengikut Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Ia memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun penjara dan tidak kurang 10 sebatan.

Sementara itu, bagi satu lagi pertuduhan, Muhammad Yasin mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menanam 17 pokok dalam pasu plastik berisi tanah yang mana daripadanya kanabis diperoleh secara terus atau tidak langsung pada tempat, waktu dan tarikh sama.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 6B(1)(a) ADB 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 6B(3) akta sama kanun keseksaan yang memperuntukkan penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada enam kali jika sabit kesalahan.

Muhammad Yasin turut didakwa atas satu lagi pertuduhan dan mengaku tidak bersalah iaitu memberikan dirinya dadah berbahaya jenis ’11-nor-delta-9 tetrahydrocannabinol-9- carboxylic acid’ di Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Petaling Jaya, jam 11.05 malam pada tarikh sama.

Bagi kesalahan itu, pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 15 (1)(a) ADB 1952 dan boleh dihukum bawah Seksyen 15 (1) akta yang sama, yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau dikenakan penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!