Bekal senjata api warga Israel: Peguam mohon warden penjara beri maklumat benar

Iklan
Abdul Azim dan Sharifah Faraha diiringi polis dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Selangor pada pada Selasa.

KUALA SELANGOR - Peguam kepada wanita yang didakwa membekalkan senjata api kepada warga Israel memohon Mahkamah Sesyen di sini, mengeluarkan perintah supaya warden Penjara Wanita Kajang tidak memberi maklumat tidak benar kepada anak guamnya berkaitan kes berkenaan.

Peguam, Mohamad Isa Mohamad Basir berkata, warden penjara didakwa memberi pelbagai informasi tidak tepat hingga memberi tekanan kepada tertuduh, Sharifah Faraha Syed Husin, 41.

Iklan
Iklan

"Saya memohon perintah mahkamah supaya warden penjara tidak memberikan pelbagai informasi tidak tepat kerana ia hanya memberi tekanan kepada anak guam," katanya dalam sebutan semula kes itu di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa.

Mohamad Isa memberitahu, selain itu, pihaknya turut memohon supaya tertuduh dibenarkan menjalani pemeriksaan imbasan sinar-X kerana pernah beberapa kali pengsan di penjara akibat murung dan mengalami keresahan melampau.

Iklan

Jelas beliau, permohonan itu melibatkan kebenaran mendapatkan pemeriksaan kesihatan di luar penjara.

"Dua minggu lalu, anak guam saya jatuh pengsan dan saya difahamkan dia hanya menerima rawatan biasa.

Iklan

"Dia (tertuduh) mengadu sakit di kepala dan mohon untuk mendapatkan pemeriksaan x-ray," ujar beliau.

Hakim Ahmad Faizadh Yahaya kemudiannya menasihatkan supaya kedua-dua permohonan yang dikemukakan peguambela diselesaikan secara pentadbiran oleh pihak penjara dan pendakwaan.

"Pegawai perubatan di penjara telah memberikan rawatan sewajarnya dan jika tidak menerimanya, boleh maklum kepada pihak terbabit.

"Mahkamah hanya menasihatkan pihak warden tidak menyebarkan sebarang maklumat tidak benar berkaitan kes ini," ujar beliau.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Unit Jenayah Berat, Jabatan Peguam Negara, Fazeedah Faik yang mengendalikan kes itu memohon tarikh sebutan bagi penyediaan dokumen.

Prosiding sebutan kes itu turut dihadiri peguam Ethan Tan mewakili seorang lagi tertuduh, Abdul Azim Mohd Yasin, 43, yang juga suami kepada Sharifah Faraha.

Mahkamah menetapkan 11 Julai depan sebutan semula kes berkenaan.

Pada 30 Mac lalu, Sinar Harian melaporkan, dua suspek ditahan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman di bazar Ramadan di Kuala Selangor pada jam 7.15 malam bagi membantu siasatan kes membeli senjata api di Thailand sebelum menjualnya kepada lelaki warga Israel.

Polis turut menemukan satu pistol di beg galas dalam kereta Honda Jazz di kediaman mereka yang terletak di Kuala Selangor.

Polis sebelum ini turut menahan seorang lelaki tempatan di Cameron Highlands, Pahang yang dipercayai pemandu kepada lelaki Israel terbabit sejak memasuki negara ini pada 12 Mac lalu.

Lelaki warga Israel itu didakwa menggunakan pasport negara Perancis untuk masuk ke ibu negara.

Bagaimanapun, ia terbongkar selepas ditahan di sebuah hotel dekat Jalan Ampang dan hasil pemeriksaan ke atas suspek berumur 36 tahun yang masuk ke negara ini melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) itu turut menemukan enam senjata api bersama 200 peluru.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!