TERENGGANU FC (TFC) dan syarikat pelaburan, XFOX Market Holdings Sdn Bhd bersedia untuk membubarkan kembali perjanjian penajaan musim 2024/2025 yang ditandatangani sebelum ini tanpa sebarang tuntutan antara kedua pihak.
TFC dalam kenyataan pada Selasa memaklumkan, tindakan itu dibuat setelah mengambil kira pandangan daripada penyokong selain menjaga keharmonian kelab untuk mengharungi pelbagai cabaran akan datang.
Menurut kenyataan itu, TFC akan memulangkan kembali bayaran penajaan daripada pihak syarikat penaja berkenaan sebanyak RM1.5 juta yang telah selesai dilunaskan.
"Proses untuk memuktamadkan penajaan ini telah melalui proses yang menjadi kelaziman bagi pihak TFC seperti penaja-penaja lain.
"Bagaimanapun setelah tular perjanjian penajaan ini, muncul suasana yang kurang sihat dalam media sosial dengan pelbagai tohmahan sekali gus menjejaskan keharmonian kelab," katanya.
Tambah kenyataan itu, TFC bersedia untuk bekerjasama dengan pihak XFOX Market Holdings Sdn Bhd setelah melihat dan menyaksikan sendiri operasi perjalanan syarikat khususnya XFOX Arena di Subang Bestari yang menyediakan padang bola sepak sintetik yang dilihat bersesuaian dengan perjalanan TFC sebagai sebuah kelab bolasepak.
Jelas kenyataan tersebut, bagaimanapun kerjasama berkenaan dipandang dari sudut yang berbeza oleh pelbagai pihak malah TFC juga mendapat simpati daripada pihak penaja berhubung situasi itu.
"Demi keharmonian kelab, dan mengambil kira suara penyokong yang merupakan tulang belakang pasukan, pihak TFC telah melakukan perbincangan dengan pihak XFOX Market Holdings Sdn Bhd untuk melihat kaedah terbaik dalam menyelesaikan isu ini.
"Atas persefahaman bersama, pihak TFC dan XFOX Market Holdings Sdn Bhd bersedia untuk membubarkan kembali perjanjian penajaan ini tanpa sebarang tuntutan antara kedua pihak.
"Tindakan ini lebih kepada melihat aspek keharmonian kelab untuk mengharungi pelbagai lagi cabaran mendatang," ujarnya.
TFC turut merakamkan ucapan terima kasih atas kerjasama singkat bersama pihak XFOX Market Holdings Sdn Bhd.
"Semoga dengan keputusan ini akan memberikan keharmonian buat TFC, XFOX Market Holdings Sdn Bhd dan semua penyokong-penyokong kelab," katanya.
Sementara itu, TFC memaklumkan dalam tempoh yang masih berbaki, pihaknya akan terus berusaha untuk mendapatkan penaja bagi AFF Shopee Cup 2024.
Sebelum ini tular di media sosial mendakwa Bank Negara Malaysia (BNM) telah menyenaaraikan XFOX Market Sdn Bhddi dalam Senarai Amaran Pengguna Kewangan.
Susulan itu ramai pihak terutama penyokong mendesak TFC supaya membatalkan perjanjian dengan syarikat pelaburan tersebut bagi memastikan imej pasukan bola sepak tersebut tidak terjejas selain mengelakkan berlaku masalah tidak diingini pada masa akan datang.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!