KAJANG - Jabatan Penjara Malaysia membenarkan lawatan perjumpaan secara bersemuka dan dalam talian sempena sambutan Hari Raya Aidiladha.
Jabatan itu dalam satu kenyataan memaklumkan, perjumpaan secara bersemuka dibenarkan selama dua hari iaitu pada hari raya ketiga dan keempat kepada keluarga semua penghuni penjara termasuk Pusat Pemulihan Akhlak, Pusat Pemulihan Khas, Tempat Tahanan Khas serta Sekolah Henry Gurney.
Bagi tujuan tersebut katanya, pelawat diminta mematuhi syarat seperti waktu lawatan bermula dari jam 8.15 pagi hingga 4.15 petang.
Selain itu menurutnya, pelawat diminta membawa kad lawatan serta kad pengenalan bagi memudahkan urusan.
"Pelawat juga tidak dibenarkan membawa sebarang makanan dan minuman kepada penghuni.
"Makanan dan minuman boleh dibeli di kantin penjara dan keutamaan lawatan kepada penghuni beragama Islam sahaja," kata kenyataan itu pada Selasa.
Menurut kenyataan itu, pelawat tidak digalakkan memberi wang kepada penghuni memandangkan semua kemudahan asas disediakan oleh pihak Jabatan Penjara Malaysia.
Tambahnya, sekiranya pelawat ingin memberi wang kepada penghuni atas urusan tertentu seperti bayaran yuran peperiksaan dan sebagainya, mereka perlu mendapatkan resit rasmi PPT. 28 sebagai akuan penerimaan.
Tegasnya, pelawat adalah tertakluk kepada akta dan peraturan Jabatan Penjara Malaysia yang membolehkan pihak penjara membuat pemeriksaan fizikal ketika pelawat masuk dan keluar dari penjara.
Sementara itu menurutnya, bagi perjumpaan secara dalam talian, ia dilaksanakan untuk tempoh tiga hari iaitu mulai 19 hingga 21 Jun 2023.
"Ini bertujuan bagi memberi peluang kepada keluarga yang tidak dapat hadir ke penjara untuk perjumpaan bersemuka.
"Untuk perkara ini, ahli keluarga boleh menghubungi pihak jabatan untuk keterangan lanjut," ujarnya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!