Pensyarah ditahan miliki air ketum

Iklan
Pelbagai jenis dadah yang dirampas dalam operasi oleh pihak Narkotik Kontinjen Kelantan.

KOTA BHARU - Tiga penjawat awam termasuk seorang pensyarah di sebuah unversiti ditahan kerana terbabit dengan pemilikan air ketum selain penyalahgunaan dadah pada Op Tapis Bersepadu dan Sempadan antara 26 Mei lalu hingga Sabtu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, pensyarah berusia 38 tahun itu ditahan ketika bersama tiga lagi rakan lelaki lain semasa berada dalam sebuah kenderaan pacuan empat roda di Batu 6, Batu Melintang, Jeli pada jam 10.30 malam, 2 Jun lalu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, Toyota Hilux yang dinaiki mereka sebelum itu ditahan dan diperiksa oleh polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik dan anggota Unit Peronda Jeli dalam satu sekatan jalan raya.

"Salah seorang yang ditahan dari dalam kenderaan itu ialah penjawat awam yang bekerja sebagai pensyarah.

Iklan

"Pemeriksaan di dalam kenderaan itu menjumpai empat botol plastik berisi cecair keperangan disyaki cecair ketum anggaran 950 mililiter,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Perhimpunan Bulanan 2024 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan pada Selasa.

Iklan

Muhamad Zaki berkata, ujian saringan air kencing tiga daripada mereka positif dadah jenis benzodiazepine manakala seorang suspek negatif dadah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Mengulas lanjut, Muhamad Zaki berkata, dua lagi penjawat awam yang ditahan ialah pembantu awam berusia 27 tahun di Kota Bharu dan pemandu kenderaan di sebuah agensi kerajaan berusia 35 tahun di Gua Musang, masing-masing pada 4 dan 7 Jun.

"Ujian saringan air kencing terhadap pembantu awam itu didapati positif dadah jenis methamphetamine dan mempunyai dua rekod kesalahan lampau kes dadah manakala pemandu kenderaan pula negatif dadah.

"Kesemua mereka disiasat mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, menerusi ops yang dilakukan sepanjang tempoh terbabit, polis menahan keseluruhan 1,251 individu atas pelbagai kesalahan berkait dadah mengikut ADB 1952, Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985 dan Akta Racun 1952.

"Kesemua tangkapan berusia 15 hingga 62 tahun terdiri daripada 1,227 lelaki termasuk tiga penjawat awam terbabit manakala 24 lagi ialah perempuan.

"Dadah-dadah yang dirampas dianggarkan bernilai RM247,229 meliputi jenis pil kuda, heroin, ganja dan syabu serta pelbagai harta turut disita terdiri daripada kenderaan jua wang tunai bernilai RM86,887,” ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!