LUKA kecederaan akibat kelecuran bintang Selangor FC, Faisal Halim belum pulih sepenuhnya selepas dibenarkan keluar daripada hospital 25 Mei lalu.
Perkembangan terbaharu itu dikongsikan Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon yang mengesahkan luka Faisal masih basah selain kekuningan seperti bernanah.
Namun, beliau berkata, proses penyembuhan pemain sayap itu berjalan dengan baik dan memerlukan masa sebelum boleh kembali ke padang.
"Lukanya masih belum kering. Saya melawatnya minggu lepas masih ada luka basah.
"Macam ada kuning-kuning seperti bernanah. Tetapi, masih jelas lukanya. Bila dah kering kulitnya akan jatuh, tetapi ketika ini masih (luka) basah," katanya ketika ditemui selepas Majlis Pengumuman Kumpulan Johawaki Sebagai Rakan Strategik Selangor FC di pusat latihan kelab itu pada Selasa.
Johan turut memaklumkan Faisal perlu berulang alik ke hospital selang empat hari untuk mencuci luka dan pemeriksaan kesihatan.
"Buat masa ini dia menjalankan fisioterapi yang ringan dan tidak berpeluh, sekurangnya ototnya bergerak. Itu fokus dalam dua, tiga minggu ini," katanya.
Sebelum ini, Faisal mengalami kelecuran tahap empat selepas disimbah asid oleh individu tidak dikenali di sebuah pusat membeli belah di Petaling Jaya pada 5 Mei lalu.
Faisal yang juga tonggak Harimau Malaya terpaksa menjalani beberapa pembedahan untuk merawat lukanya itu.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!