KUALA LUMPUR - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) laksana pemeriksaan di 62 stesen minyak di ibu negara bagi tempoh dua hari bermula Ahad.
Pengarah KPDN Kuala Lumpur, Ariffin Samsudin berkata, seramai 35 pegawai dan anggota penguat kuasa KPDN Kuala Lumpur telah ditugaskan untuk membuat pemeriksaan serta rondaan di stesen minyak seluruh Kuala Lumpur.
Menurutnya, pemeriksaan ini adalah untuk memastikan stesen-stesen minyak tidak menjual diesel melebihi harga kawalan sebelum jam 12 tengah malam pada 10 Jun.
"KPDN Kuala Lumpur telah membuat pemeriksaan ke atas 62 buah stesen minyak dan tidak menemui sebarang aktiviti yang mencurigakan, stok semasa bekalan diesel juga mencukupi bagi kesemua stesen minyak dan tiada berlakunya 'stock out'," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Beliau berkata, pemilik stesen minyak menyambut baik pengumuman perubahan harga berdasarkan harga semasa pasaran dan akan memberikan kerjasama yang penuh dari masa ke masa kepada pihak kerajaan.
Tambahnya, harga yang dipamerkan di stesen-stesen minyak juga adalah harga terbaharu bagi diesel iaitu RM3.35 seliter selepas jam 12 tengah malam pada 10 Jun.
Jelasnya, jika terdapat pengumuman perubahan harga bagi diesel oleh Kementerian Kewangan, pemeriksaan dan rondaan akan dilakukan bagi memastikan stesen-stesen minyak tidak menyeleweng barang kawalan (diesel).
Tegas beliau, bagi kesalahan penyelewengan barang kawalan, tindakan penguatkuasaan akan diambil di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan peraturan-peraturan yang berkuat kuasa di bawahnya selain siasatan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan
Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.
"Penguatkuasaan juga akan dijalankan di bawah Ops Kesan 2.0 untuk memastikan tidak berlaku elemen pencatutan terhadap harga barang dan perkhidmatan dengan mengguna pakai alasan pelarasan harga runcit diesel di stesen-stesen minyak.
"Aduan boleh disalurkan di talian 012-6654292 mengenai aduan caj, harga dan bekalan," ujarnya.
Justeru, KPDN Kuala Lumpur memberi amaran keras dan akan mengambil tindakan tegas terhadap sebarang aktiviti penyelewengan barang kawalan dan manipulasi harga serta caj perkhidmatan sehingga menyebabkan berlakunya pencatutan berikutan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!