[VIDEO] Mengapa bantuan subsidi diberi sama rata? - Mohd Syahir

Iklan

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman mempersoalkan tindakan kerajaan yang menyalurkan Bantuan Subsidi Madani (Budi Madani) sebanyak RM200 secara 'pukul rata' sedangkan rakyat perlu mengisi data peribadi secara terperinci dalam sistem Pangkalan Data Utama (Padu).

Beliau bertanyakan kepada Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, mengapa bantuan diberikan tanpa mengira tahap pendapatan, tujuan penggunaan, lokaliti dan jarak, serta jenis dan kuasa enjin kenderaan bagi setiap pemilik yang layak.

Iklan
Iklan

"Apakah tujuan dikongsikan data peribadi yang bersifat 'unik dan identikal' ke dalam sistem Padu dan Budi - meliputi maklumat pekerjaan, pendidikan, pendapatan bersih, jumlah tanggungan, komitmen hutang, model kenderaan, lokasi kediaman serta jarak tempat kerja, bagi setiap isi rumah?," soalnya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau turut memberikan contoh situasi terhadap perkara yang dibangkitkan iaitu membabitkan dua individu berpendapatan RM3,000 sebulan.

Mohd Syahir

Iklan

"Saya datangkan contoh pengiraan, Encik Razifi dan Encik Lim (bukan nama sebenar), kedua-duanya mempunyai pendapatan RM3,000 sebulan, memiliki model kenderaan Myvi 1.3 cc yang sama, tinggal berjiran dan bekerja di kilang yang bersebelahan, jaraknya 20 kilometer dari rumah mereka.

"Bezanya, Razifi mempunyai lima orang anak yang masih bersekolah manakala Lim hanya mempunyai seorang anak. Persoalan saya, adakah jumlah bantuan subsidi petrol yang akan disalurkan kepada Razifi dan Lim, ditetapkan pada nilai RM100 yang sama-rata atau pada kadar yang 'unik dan identikal' mengikut keperluan dan tanggungan?

Iklan

"Sama ada jumlah bantuan mencukupi ataupun tidak, ia adalah topik perbahasan yang lain," soalnya.

Tambah beliau lagi, persoalan tersebut dibangkitkan di luar dewan kerana rakyat di bawah sudah mula sangsi dan tertanya-tanya mengenai hal sama.

"Apakah motif sebenar pengumpulan maklumat peribadi yang 'unik dan identikal' ke dalam sistem PADU dan BUDI, adakah untuk penyasaran (bantuan) subsidi atau bertujuan untuk penyasaran (data peribadi) pengundi.

"Sebagai seorang teknokrat yang disegani, mohon jawapan ikhlas daripada Senator Menteri," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!