DARI dunia glamour hiburan ke bidang keusahawanan, pelakon Sharisa Haris Chong membuktikan bahawa perubahan karier bukanlah penghalang untuk mencapai kejayaan yang lebih besar.
Memilih untuk beralih ke dunia perniagaan bagi meneruskan kelangsungan hidup, pelakon yang pernah menarik perhatian peminat menerusi lakonannya dalam drama popular, antaranya ‘Adellea Sofea’ dan ‘Matahari Terbit Lagi’ itu pernah melakar kejayaan yang cukup membanggakan apabila diangkat sebagai Ikon Usahawan Negeri Sembilan 2023.
Melibatkan diri dalam bidang lakonan pada tahun 2011, Sharisa, 35, mencipta nama sebagai usahawan selepas menceburi perniagaan makanan dan minuman sejak tahun 2017 dengan membuka restoran Mama Nor selain dikenali sebagai Akak Sado Tampin di laman sosial TikTok.
"Alhamdulillah... saya sangat bersyukur di atas kejayaan ini, tidak pernah sekali pun saya rasa diri ini hebat, sebaliknya pencapaian ini lebih membangkitkan semangat saya untuk bekerja dengan lebih baik.
"Apabila saya mula fokus dalam bidang (perniagaan) ini, saya dapat membantu ramai orang dan kehidupan juga berubah. Bukan setakat saya (hidup) berubah, tetapi juga ibu, bapa dan keluarga serta semua pekerja... ia buat saya rasa sangat seronok,” katanya berkongsi pengalaman dalam rakaman podcast ‘Hidup Ini Keras’ terbitan Digital BernamaTV dan Bernama Radio, baru-baru ini.
"Saya tiada pilihan dan percaya bidang perniagaan adalah cara untuk meneruskan kehidupan kerana sudah terdedah dengan perniagaan kedai makan sejak kecil,” kata anak sulung daripada tiga beradik ini.
Berbekalkan modal RM30,000 hasil bayaran terakhir berlakon dan bantuan bapa, pelakon drama Teduhan Kasih ini mengorak langkah dengan membuka sebuah gerai makan di lot kedai milik Majlis Daerah Tampin pada tahun 2017.
"Tempat itu adalah kawasan mati, orang tak tahu tempat itu dan lokasinya agak ke dalam tapi... Alhamdulillah selepas saya ambil alih, menjenamakan semula tanpa sebarang pengetahuan (dalam bidang perniagaan), sekadar membesar di kedai makan dan saya buat secara perlahan-lahan hingga tempat itu meletup (jadi tumpuan ramai).
"Kita bermula dengan lima meja dengan tiga menu utama Yong Tau Foo, nasi lemak dan roti canai serta tiada pekerja. Semuanya saya buat sendiri sehinggakan saya terpaksa menolak beberapa tawaran berlakon,” katanya yang mempunyai Ijazah Sarjana Muda Psikologi Kaunseling dari Universiti Malaya.
Bahkan, pelakon drama Ariana Rose ini juga pernah mengalami kerugian sehingga RM1 juta akibat sikapnya yang terburu-buru ingin membuka sebuah cawangan baharu di ibu kota pada tahun 2018.
"Masa itu saya dapat satu tapak kedai di Kampung Baru, di sini, dengan sewa bulanan RM20,000. Sebelum beroperasi, saya juga membuat ubah suai dengan kos RM480,000. Semuanya saya gunakan duit simpanan daripada hasil berniaga selama setahun.
"Alhamdulilah, kedai itu mendapat sambutan hangat, namun saya terpaksa menutupnya selepas sembilan bulan operasi kerana gagal menguruskannya dengan baik gara-gara tiada ilmu dalam bidang perniagaan,” katanya yang bakal melancarkan produk sos Yong Tau Foo, dalam masa terdekat.
Sementara itu, ditanya mengenai karier seninya, Sharisa mengakui rindu untuk berlakon semula namun masih belum mempunyai ruang dan peluang.
"Masih belum ada lagi permintaan berlakon, kalau ada rezeki, insya-ALLAH, saya nak buat comeback tetapi saya harap diberikan watak yang bersesuaian.
"Semua karakter saya rindu tapi kalau diberi peluang saya mahu bawa watak komedi, sebab sifatnya yang free acting dan tidak terikat dengan skrip,” katanya yang kali terakhir berlakon menerusi drama Adellea Sofea arahan Shahrulezad Mohameddin pada tahun 2019.
Antara drama dan filem yang pernah dibintangi Sharisa adalah You Saka...Pergi Jauh-jauh, Karma, Tentang Dhia, Diari Plantun, Andai Bumi Tulip Takdirku, Monalisa, Bahaya Cinta, Bravo 5 dan Suamiku Jatuh Dari Langit. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!