Restoran milik bekas ADUN Jeram disimbah cat merah

Iklan
Mohd Shaid menunjukkan laporan polis pada telefon bimbitnya dan kesan simbahan cat di restoran miliknya di Puncak Bestari, Bandar Puncak Alam, di sini pada Selasa.

KUALA SELANGOR - Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram mendakwa sebuah restoran miliknya di Puncak Bestari, Bandar Puncak Alam, di sini, disimbah cat merah dipercayai perbuatan ah long pada pagi Selasa.

Mohd Shaid Rosli, 42, berkata, kejadian jam 2.53 pagi itu disedari pekerjanya yang terdengar bunyi mencurigakan semasa sedang berehat di asrama tingkat dua premis berkenaan.

Iklan
Iklan

"Mereka (pekerja) mendengar bunyi bising di tingkat bawah (restoran) dan kemudian sebaik turun mereka terkejut melihat simbahan cat merah pada dinding, pintu utama dan gerai restoran," katanya ketika ditemui pada Selasa.

Beliau memberitahu, terdapat poster turut ditampal di pintu premis yang meminta supaya membayar hutang wang dipercayai oleh ah long.

Iklan

Mohd Shaid memberitahu, premis itu sebelum ini disewa individu lain yang turut menjual makanan dan baharu dua minggu diambil alih beliau bagi menjalankan perniagaan.

Sehubungan itu, katanya, pihaknya tampil membuat laporan mengenai kejadian itu di Balai Polis Saujana Utama bagi tindakan lanjut pada jam 12.30 tengah hari Selasa.

Iklan

"Laporan polis dibuat kerana bimbang perkara lain akan berlaku lagi selain perlu meneruskan operasi perniagaan seperti biasa.

"Saya anggarkan mengalami kerugian berjumlah RM10,000 akibat kejadian tersebut," tambah beliau.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Mohd Hafiz Muhammad Nor ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan berkata siasatan lanjut sedang dijalankan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!