SHAH ALAM - Berita penemuan baharu 100 artifak prasejarah zaman Paleolitik dianggarkan berusia 17,000 tahun di beberapa buah gua di Gunung Pulai di Baling mengimbau sejarah 29 tahun yang lalu apabila negara pernah digemparkan dengan penemuan rangka manusia dikenali sebagai Perak Man di Gua Gunung Runtuh, Lembah Lenggong, Hulu Perak.
Artifak dalam bentuk peralatan batu, pecahan tembikar dan kulit siput sungai di Baling ditemui Jabatan Warisan Negara (JWN) di tapak-tapak baharu ekskavasi, antaranya di Gua Kelambu, Gua Tembus dan Gua Akar di Gunung Pulai pada April hingga Oktober tahun lalu.
Ternyata lokasi kedua-dua penemuan itu tidak begitu jauh, membawa kepada bukti baharu adanya kehidupan prasejarah di kawasan berkenaan.
Perak Man merupakan rangka manusia dari zaman batu era Paleolitik yang hampir sempurna dan tertua pernah ditemui di Malaysia, malah di Asia Tenggara dianggarkan pernah hidup kira-kira 10,000 hingga 11,000 tahun lalu.
Posisi rangka Perak Man telah dijumpai dalam keadaan foetal iaitu kedua-dua kakinya berlipat ke arah dada dengan tangannya memegang beberapa jenis daging. Ia dikebumikan dengan beberapa peralatan batu dan beribu-ribu kerang sungai.
Para pengkaji yakin bahawa Perak Man merupakan orang penting bagi puaknya berdasarkan kedudukan cara pengebumian dan peralatan yang ditanam bersamanya.
Menurut kajian, Perak Man mempunyai ketinggian 157 sentimeter dan dipercayai mati pada umur antara 40 hingga 45 tahun. Penemuan bersejarah yang menggemparkan dunia arkeologi itu adalah hasil penyelidi-kan yang dibuat Pusat Penyelidikan Arkeologi Malaysia (MARC) Universiti Sains Malaysia (USM) dengan kerjasama Jabatan Muzium Malaysia.
Sejak penemuan Perak Man pada 1991, Lembah Lenggong yang terletak kira-kira 80 kilometer dari Ipoh itu mula mendapat perhatian kerana sejak itu banyak lagi kawasan di Lembah Lenggong yang kaya dengan gua dan bukit batu kapur menjadi tapak penemuan artifak penting.
Satu persatu penemuan prasejarah itu telah membawa kepada pengiktirafan Lembah Lenggong sebagai Tapak Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada 30 Jun 2012.