KUALA TERENGGANU - Kira-kira 400 peniaga Pasar Payang dekat sini merayu agar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) mengkaji semula kadar kenaikan harga sewa ruang niaga di bangunan baharu Pasar Payang 1 yang didakwa meningkat mendadak antara 300 peratus hingga 485 peratus berbanding harga lama.
Wan Saidah Abdul Ghani, 37, berkata, selain kadar sewa, bayaran deposit yang dikenakan juga disifatkan sebagai terlalu tinggi dan tidak mampu dilunaskan secara sekali gus bagi membolehkan mereka mendapatkan kunci untuk berpindah ke premis baharu.
Menurutnya, kenaikan itu wajar dipertimbangkan memandangkan pendapatan kebanyakan peniaga di situ bermusim.
"Jualan sekarang tidak menentu, jadi susah sikit kami nak jelaskan semua bayaran itu. Macam saya berniaga periuk belanga ni perlu bayar deposit lebih RM3,000 dan kenaikan sewa pula dalam 300 peratus daripada harga lama RM110 kepada RM400 harga baharu.
"Kalau boleh kita nak mereka kaji semula kadar sewa dan deposit terutama melibatkan harga bayaran bagi papan tanda sebanyak RM1,600 yang dilihat begitu membebankan peniaga," katanya ketika ditemui pemberita pada Selasa.
Difahamkan, sebelum ini harga sewa lama yang perlu dibayar oleh peniaga antara RM110 hingga RM380 dan harga baharu meningkat antara RM400 hingga RM1,600.
Seorang lagi peniaga, Saripah Ahmad, 41, berkata, mereka akan mula berpindah ke premis perniagaan baharu itu bermula 1 Julai depan dan perlu melunaskan bayaran deposit termasuk sewa lot kedai berjumlah RM3,530.
"Bagi saya kenaikan sewa ini terlalu mendadak, kalau naik kepada RM200 hingga RM250 kita boleh terima lagi sebab pendapatan kami bermusim
"Macam saya jual alatan dapur, hanya waktu musim cuti sekolah dan perayaan sahaja ramai pelanggan dan kita tak boleh nak jangka macam mana keadaan di tempat baharu nanti," katanya yang memperoleh pendapatan bulanan sekitar RM2,000.
Muhammad Airie Ridzuan, 32, pula berkata, peningkatan tiga kali ganda harga sewa membebankan peniaga memandangkan peniaga turut berdepan kesan kenaikan harga barang dan pelanggan yang inginkan barangan pada harga rendah.
"Kebanyakan peniaga di sini rasa terbeban sebab jualan kita setiap hari tidak sama. Ada hari dapat RM50, ada hari nasib baik dapat RM100.
"Jadi kita harap kerajaan dapat pertimbangkan semula kadar sewa ini supaya kita peniaga tak rasa terbeban," ujarnya yang berniaga di situ sejak lebih 10 tahun lalu.
Senada dengan Muhammad Airie, Nasrul Hakim Nasuha, 27, berkata, kenaikan kadar sewa dan bayaran deposit yang dikenakan melebihi jangkaan yang dibuat oleh peniaga.
"Kita semua ada buat perancangan untuk bayaran masuk ke premis baharu sebab kita semua sudah sedia maklum akan berlaku kenaikan harga namun tak sangka pula kenaikan itu terlalu mendadak," ujarnya.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Peniaga Pasar Payang dan Bazar Warisan Negeri Terengganu, Ahmad Shukri Abdullah berkata, pihak telah mengadakan pertemuan bersama MBKT bagi memohon agar mempertimbangkan kembali kenaikan harga itu.
Katanya, kenaikan harga bagi peniaga tidak sama kerana terdapat tiga saiz ruang niaga iaitu 20x10, 10x10 kaki persegi serta kedai yang berada di bahagian lot sudut bangunan.
"Dengan kenaikan harga ini ada peniaga terbeban, ada yang tak terbeban, maknanya ada yang mampu bayar dan ada yang tak mampu.
"Disebabkan bebanan kos sara hidup yang tinggi dan pelanggan datang ke sini pun tak menentu, kita mohon satu harga paling rendah dan tidak membebankan peniaga.
"Untuk bayaran RM1,600 bagi papan tanda pula kita telah mohon pengurangan supaya ia boleh dibayar secara ansuran dan sebagainya," ujarnya.
Jelasnya, pihaknya juga memahami kos operasi yang perlu ditanggung MBKT apabila mula menduduki bangunan baharu, namun keluhan peniaga wajar dipertimbangkan.
"Kita faham banyak kos yang perlu ditanggung seperti bahan binaan, elektrik dan sebagainya. Lagipun sudah lama harga sewa tak dinaikkan iaitu lebih 10 tahun.
"Jika nak dibandingkan dengan tempat lain, setakat ini harga sewa kedai di Pasar Payang adalah jauh lebih murah," ujarnya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!