Madrasah Luqmanul Hakim: Tunggu siasatan selesai sebelum ambil tindakan lanjut

Iklan
Mohd Fared (tengah) bertanya khabar pelajar berkeperluan khas penglihatan yang mencuba braille elektronik di Maktab Sultan Abu Bakar Johor Bahru, pada Selasa.

JOHOR BAHRU - Sebarang tindakan susulan terhadap Madrasah Luqmanul Hakim di Ulu Tiram, hanya akan diambil kerajaan negeri selepas semua agensi dan jabatan berkaitan selesai menjalankan siasatan dan semakan.

Exco Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, beberapa agensi seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) ketika ini, sedang giat melakukan siasatan dan semakan.

Iklan
Iklan

"Ia bergantung kepada siasatan rapi yang dibuat. Saya percaya pemeriksaan menyeluruh dibuat termasuk kepada pemilikan, pematuhan dan sekiranya sebarang tindakan diambil ia mesti dibuat dengan notis kerajaan.

"Namun, kerajaan negeri hanya akan mengambil tindakan susulan terhadap madrasah berkenaan selepas semua siasatan dan semakan selesai," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Bantuan Amal Jariah, di Dewan Sultan Iskandar, Maktab Sultan Abu Bakar (MSAB), di sini, pada Selasa.

Pada 21 Mei lalu, kerajaan negeri dilaporkan mungkin merobohkan Madrasah Luqmanul Hakim di Ulu Tiram, di sini, atas faktor keselamatan.

Iklan

Mohd Fared dilaporkan berkata, pihak Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) dan polis membuat pertimbangan itu.

Madrasah yang terletak di tanah persendirian berhampiran dengan kediaman suspek yang menyerang Balai Polis Ulu Tiram, Jumaat lalu ditutup sepenuhnya pada 2001.

Sejak madrasah itu ditutup lebih 20 tahun lalu, pihak MAIJ tidak menerima sebarang permohonan untuk memperbaharui pendaftaran pusat itu

Madrasah berkenaan terletak di tanah persendirian dan kediaman keluarga suspek yang berada dalam kawasan berpagar dan orang awam tidak dibenarkan masuk.

Madrasah itu difahamkan pernah menjadi 'medan usrah' ahli kumpulan pengganas sekitar 1996 dan 1997.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!