Subsidi diesel pinggirkan golongan pesawah - Ketua Penerangan Armada

Iklan
Mohd Ashraf

ALOR SETAR - Kenaikan harga diesel dibimbangi membebankan golongan pesawah berikutan program Budi Agri-Komoditi seakan meminggirkan kelompok penanam padi dengan tidak memperhalusi mekanisme pemberian subsidi.

Ketua Penerangan Armada Pusat, Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir berkata, kerajaan perlu menilai semula mekanisme agihan bantuan tunai tersebut menerusi agensi berkaitan seperti Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK), Jabatan Pertanian atau Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) untuk disalurkan kepada operator mahupun pesawah.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kos operasi penggunaan diesel pesawah amat tinggi dan skim berkenaan tidak dapat menoktahkan kemiskinan mahupun bebanan ditanggung pesawah.

"Kos operasi penggunaan diesel pesawah antara 6,000 liter hingga 10,000 liter semusim. Mana mungkin bantuan tersebut mampu meringankan beban mereka.

Iklan

"Ditambah pula birokrasi proses permohonan seperti isytihar pendapatan dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan kenderaan perlu berdaftar bawah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang turut beri penambahan kos, menyebabkan ramai petani sukar membuat permohonan,” katanya di sini pada Selasa.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Siputeh itu, kebanyakan pesawah merupakan warga emas dan kaedah permohonan ketika ini dilihat 'tidak mesra' dengan golongan itu.

Iklan

"Akan ada kesan rantaian apabila pesawah yang selama ini terpaksa menelan segenap kos input dari proses penanaman padi sehingga penjualan padi, sedangkan subsidi padi kebanyakannya terus kepada kapitalis kilang-kilang dan pemodal dalam ekosistem padi.

"Apabila berlaku kenaikan diesel secara mendadak, pasti ada lagi kenaikan kos yang diserap dan ditanggung oleh pesawah,” ujarnya.

Mohd Ashraf berkata, proses yang sukar itu dilihat akan membuka ruang kepada mereka yang berkepentingan 'main harga' sesuka hati tanpa kawalan dan akan terus berlaku penindasan kepada pesawah.

"Harga mesin padi, traktor, jentuai semuanya diyakini akan meningkat. Hasil mereka akan terus diragut, kos semuanya ditanggung pesawah yang kebanyakan bukan pemilik, cuma menyewa tanah bendang.

"Mereka berkorban demi keterjaminan makanan dalam negara selain untuk kelangsungan hidup yang tak membawa kekayaan pun, sedangkan hasil padi langsung tiada kenaikan, hidup mereka terus susah tanpa pembelaan,” jelasnya.

Menurutnya lagi, amat menghairankan bagaimana segmen paling utama dalam jaringan makanan negara dikesampingkan dalam pemberian subsidi diesel.

"Lolongan bersasar ini jelas tersasar kerana jika pemberian Budi sebanyak RM200 sebulan ke atas individu dan bukannya atas jentera, pelaksanaannya tetap membebankan pesawah kerana tidak mengimbangi kos permintaan atau penggunaan jentera dalam pengurusan padi,” katanya.

Mohd Ashraf berkata, apabila tiada perhatian khusus dalam sektor penanaman padi, ia akan menimbulkan kecelaruan dalam ekosistem rantaian penanaman padi dan penghasilan beras selain membuka ruang kepada golongan kaya (kapitalis) untuk menindas pesawah.

"Selaku pimpinan masyarakat yang mewakili suara pesawah, yang mana kebanyakan penduduk DUN Kota Siputeh adalah pesawah dalam kawasan jelapang padi antara terbesar dalam negara meliputi Kota Siputeh-Jerlun, kenaikan harga diesel sebanyak RM1.20 berbanding harga sebelum ini, RM2.15 seliter kepada RM3.35 seliter cukup membimbangkan,” ujarnya.

Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Jerlun itu turut mempertikaikan penyelarasan diesel dan membawa suara pesawah supaya kerajaan Persekutuan berpijak di bumi nyata dalam membangunkan dasar, bukannya menindas rakyat khususnya pesawah.

"Saya tak menolak dasar yang baik. Saya mungkin satu-satunya ADUN Perikatan Nasional (PN) yang secara terbuka mempromosikan Padu atas semangat dasar awam. Kini rakyat dibebani dengan birokrasi pendaftaran Budi.

"Saya ingin ulangi kata-kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim suatu masa dahulu, yang berkata, ‘Pemimpin beri alasan subsidi minyak jadi beban patut dihumban!”, mungkin tiba masanya Anwar menasihati Menteri Kewangan untuk cermin diri atau sebaliknya,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!