GEORGE TOWN - Hasrat MCA untuk turun berkempen bagi membantu calon Kerajaan Perpaduan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap pada 6 Julai nanti sangat dialu-alukan.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, menjadi hak MCA sama ada akan turun bersama-sama parti lain di bawah Perpaduan untuk berkempen atau sebaliknya.
"Itu hak mereka (MCA) sama ada mahu bersama-sama turun kempen atau tidak. Ini kerana, sebelum ini, mereka berpendirian tidak akan turun berkempen untuk calon yang bukan dari Barisan Nasional (BN).
"Mungkin kali ini, mereka sudah tukar fikiran. Kita sangat mengalu-alukan," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan 57th Asean Senior Transport Offical Meeting (STOM) di sini pada Selasa.
Sebelum ini, Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, MCA berkemungkinan tidak menolak untuk membantu kempen calon Kerajaan Perpaduan pada PRK DUN Sungai Bakap, 6 Julai nanti.
Ka Siong berkata, ia berikutan MCA diperlukan BN bagi membantu kempen calon di Sungai Bakap.
Bagaimanapun sebelum itu, Jawatankuasa Pembangunan Politik MCA dilaporkan memutuskan untuk tidak terbabit dalam sebarang aktiviti kempen PRK DUN Kuala Kubu Baharu, sekiranya calon dikemukakan bukan daripada BN.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!