SHAH ALAM - Human Resource Development Corporation (HRD Corp) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Shuto Iko College of Medical Care & Welfare, Jepun sekali gus menjadi platform terbaik bagi HRD Corp menawarkan kursus pensijilan profesional penjagaan warga emas negara itu kepada rakyat Malaysia.
Kerjasama itu juga membolehkan HRD Corp mendapatkan teknologi latihan dan pensijilan penjagaan warga emas dari Jepun selain mengenal pasti dan melengkapkan jurulatih serta penyedia latihan Malaysia.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, kerjasama antara HRD Corp dan Shuto Iko tepat pada masanya kerana akan melengkapi usaha kerajaan untuk melabur serta mengawal selia ekonomi penjagaan.
Menurutnya, usaha tersebut juga mampu menyumbang antara sepuluh peratus dan 39 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) sesebuah negara.
"MoU ini akan mengiktiraf pekerjaan tersebut sebagai kerjaya formal yang memberi manfaat kepada masyarakat dan ekonomi kita.
"Saya berharap rakyat Malaysia akan meneroka peluang pekerjaan profesional dalam sektor ini," katanya selepas menyaksikan majlis menandatangani MoU berkenaan sempena lawatan selama lima hari ke Jepun baru-baru ini.
MoU tersebut ditandatangani oleh Ketua Eksekutif HRD Corp, Datuk Wira Shahul Dawood dan Pengarah Jabatan Perancangan, Yayasan Pendidikan Jepun Yohei Toyoda dengan turut disaksikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia, Datuk Seri Khairul Dzaimee.
Sementara itu, Shahul berkata, HRD Corp berbesar hati untuk terus memperluas tawaran kepada semua rakyat Malaysia melalui perkongsian dengan Shuko Ito.
"Menurut Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), sektor penjagaan sedang berkembang di semua rantau dan dijangka mencipta lebih banyak pekerjaan pada tahun-tahun akan datang.
"Dengan mengiktiraf ekonomi penjagaan, dan menawarkan pensijilan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa, terutamanya dalam latihan vokasional penjagaan warga emas, pekerja penjagaan Malaysia dapat menikmati gaji yang selayaknya sambil berpeluang meningkatkan kemahiran, menjadi profesional, seterusnya naik ke tangga kerjaya di masa hadapan,” ujarnya.
Shuto Iko College of Medical Care & Welfare merupakan satu daripada sembilan fakulti di bawah Yayasan Pendidikan Jepun.
Ia menumpukan pada pendekatan holistik kepada latihan penjagaan, melalui kursus pensijilan profesional yang disokong oleh teknologi penjagaan terkini.
Institusi ini pakar dalam menyediakan kursus pensijilan profesional jangka pendek dan panjang yang diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan, Buruh dan Kebajikan Jepun kepada semua lepasan sekolah menengah. Kolej ini juga mempunyai kadar pekerjaan hampir 100 peratus kerana program mentor holistiknya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!