Dua maut keracunan: JKNS jalankan siasatan kesan kes baharu

Iklan
Kenyataan JKNS berhubung kes berkenaan pada Selasa.

SHAH ALAM - Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) masih menjalankan siasatan bagi mengesan kes-kes baharu susulan kematian disyaki akibat keracunan makanan di Gombak.

Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Ummi Kalthom Shamsudin berkata, tindakan kawalan dan pencegahan bagi mengawal kejadian wabak keracunan makanan itu turut dijalankan.

Iklan
Iklan

Ujarnya, sampel makanan telah diambil pada hari kejadian dan dihantar ke Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK), Sungai Buloh bagi mengenalpasti punca sebenar kejadian berkenaan.

"JKNS meminta agar individu terlibat yang mengalami gejala agar segera mendapatkan rawatan di mana-mana fasiliti kesihatan bagi mengelakkan komplikasi keracunan makanan tidak diingini," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Iklan

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan penganjur program dan orang awam agar berhati-hati dalam memilih premis dan pembekal makanan yang bersih.

"Pengendali makanan pula perlu sentiasa menitikberatkan aspek kebersihan dan keselamatan makanan serta minuman bagi mengelakkan kejadian penyakit atau wabak keracunan makanan," ujarnya.

Iklan

Ujarnya lagi, pihak jabatan berkenaan turut merakamkan ucapan takziah kepada kedua-dua keluarga mangsa.

Terdahulu, media melaporkan seorang budak perempuan berusia dua tahun dan remaja 17 tahun maut, dipercayai akibat keracunan selepas memakan bihun dan telur goreng dibawa pulang dari sebuah sekolah kelolaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir, dilaporkan berkata, pihaknya menerima laporan daripada keluarga kedua-dua mangsa berhubung kejadian itu pada Isnin.

Mangsa pertama berusia 17 tahun memakan makanan dibawa pulang ibunya daripada satu program di sekolah itu dengan kedua-dua mereka bersama bapa remaja berkenaan mengalami cirit-birit selepas memakan makanan itu pada Ahad.

Pada jam 1.30 tengah hari pada Isnin, remaja berkenaan dilaporkan mula tidak sedarkan diri lalu bapanya menghubungi talian kecemasan MERS 999.

Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan.

Mangsa kedua pula adalah anak kepada pengawal keselamatan bertugas di sekolah berkenaan yang mengalami demam, muntah-muntah dan cirit-birit pada jam 10.45 malam Ahad lalu dibawa ke Hospital Selayang oleh ibunya sebelum meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital.

Menurut Noor Ariffin, mayat kedua-dua mangsa dirujuk ke Hospital Selayang untuk tindakan lanjut dan polis setakat ini mengklasifikasikan kes sebagai kematian mengejut (SDR).

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!