Azadan Rabbani tertekan disangka scammer

Iklan
Nombor pada aplikasi WhatsApp Azadan diambil alih dalam tempoh singkat.

KETUA kumpulan nasyid Rabbani, Azadan Abdul Aziz mengakui tertekan apabila menjadi mangsa jenayah penipuan atau scammer sejak Ahad lalu.

Jelas Azadan, 51, sejak aplikasi WhatsApp miliknya digodam, banyak urusan tergendala dan menyukarkan beliau berhubung dengan pihak lain.

Iklan
Iklan

"Dalam telefon bimbit saya ada lebih kurang 5,000 nombor telefon dan banyak urusan melibatkan hal peribadi atau kumpulan Rabbani dibuat menerusi aplikasi WhatsApp.

"Masalah ini sebenarnya memberikan tekanan buat saya, tetapi sebagai Muslim saya reda dan tawakal dengan apa yang berlaku," katanya kepada Sinar Harian.

Iklan

Menceritakan semula detik menjadi mangsa godam, Azadan berkata, telefon bimbitnya seperti mengalami gangguan pada jam 8 malam, 9 Jun lalu.

Ujarnya, sebaik terpapar enam digit nombor di aplikasi WhatsApp dan beliau bertindak menyemak e-mel dan Facebook, sebelum memadam semua notifikasi.

Iklan

"Tidak lama kemudian, saya terima panggilan daripada Dr Fitri Haris yang bertanyakan sama ada saya ada meminta wang.

"Cuma disebabkan saya ada persembahan pada ketika itu, saya tidak sempat membuat apa-apa tindakan lanjut dan hanya maklumkan nombor saya digodam menerusi Facebook.

"Rakan-rakan ada bantu hebahkan mengenai nombor saya digodam dalam kumpulan WhatsApp, tetapi individu yang mengambil alih aplikasi itu bertindak memadamkan mesej berkenaan," jelasnya.

Tidak berdiam diri, Azadan telah membuat laporan polis pada pagi Isnin lalu, termasuk menghubungi syarikat telekomunikasi dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Bagaimanapun, disebabkan masalah itu berlaku di aplikasi WhatsApp, maka tidak banyak yang dapat dilakukan.

"Telco beritahu tidak dapat buat apa-apa kerana ia berlaku pada aplikasi, begitu juga dengan SKMM. Laporan polis pula hanya untuk memudahkan saya mengambil tindakan selanjutnya.

"Cuma saya masih berharap dapat kembali aplikasi WhatsApp dengan nombor berkenaan. Buat sementara waktu, saya telah gunakan nombor baharu, tetapi rakan-rakan, keluarga atau mana-mana penganjur boleh hubungi saya menggunakan nombor lama," ujarnya.

Diperlekehkan

Dalam pada itu, Azadan turut meminta orang ramai lebih berhati-hati dalam membuat pemindahan wang menerusi permintaan di mesej.

Pada pendapatnya, adalah lebih baik untuk menghubungi atau mendapatkan maklumat lanjut sebelum mempercayai mesej sedemikian.

"Saya rasa orang ramai perlu lebih berhati-hati bila menerima mesej sebegini. Jangan mudah percaya dan terus beri sahaja, lebih-lebih lagi bila lihat nama pada nombor akaun yang mencurigakan.

"Pada scammer, ingatlah dunia ini hanya sementara. Biarlah hasil yang kita dapat itu berkat. Pada kawan-kawan saya mohon maaf pada mereka yang sudah menjadi mangsa," katanya yang memaklumkan lebih 10 individu mengakui sudah membuat pemindahan wang dan ada di antaranya memberi sehingga RM4,000.

Dalam masa sama, Azadan turut mengingatkan semua pihak agar tidak memperlekehkan atau menjadikan masalah orang lain sebagai bahan gurauan.

Ujarnya, meskipun masalah yang dihadapi tampak kecil, tetapi memberi implikasi yang berbeza pada setiap individu.

"Kebetulan semalam, saya ada hadiri sebuah majlis dan sebaik saya masuk dewan, ada yang jadikan isu scammer ini sebagai bahan jenaka, ada yang perli.

"Sejujurnya saya tak suka dan terasa seperti dimalukan. Walaupun hanya nombor saya yang digodam, tetapi ia memberi tekanan pada saya sebab saya bukan individu yang suka tipu orang lain," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!