JASIN - Penternak kupang di Kuala Sebatu, Merlimau di sini, melahirkan kegusaran dan bakal berdepan muflis kerana pendapatan terjejas ekoran tidak dibenarkan untuk memasarkan kupang seperti mana arahan sebelum ini sejak lebih dua bulan lalu.
Larangan yang dikeluarkan sejak April lalu menyebabkan mereka mendakwa terpaksa menanggung kerugian mencecah ratusan ribu ringgit kerana tidak dapat menjual ribuan kupang dalam tempoh tersebut.
Pengerusi Lembaga Pengarah Persatuan Nelayan Kawasan Jasin, Mohd Sah Hashim berkata, terdapat 33 panggar kupang yang terjejas termasuk 28 penternak atau pengusaha persendirian dan selebihnya di bawah persatuan.
Menurutnya, sebelum arahan itu mereka mampu memperolehi pendapatan mencecah hampir RM10,000 setiap bulan menerusi jualan 1,200 kilogram (kg) kupang, yang dipasarkan di pasar tani berdekatan.
Dakwa beliau, sedangkan negeri bersempadan yang terletak hanya beberapa kilometer dari Melaka dibenarkan menjual kupang, namun mereka sebaliknya menyebabkan banyak kupang telah mati sebelum sempat dituai.
Tambahnya, disebabkan arahan itu juga nelayan mengalami kekangan untuk menjual benih kupang yang sebelum ini sering dihantar ke negeri-negeri utara seperti Perak dan Kedah.
"Ramai yang membuat tempahan benih kupang tapi kami tak boleh membawa keluar hasil laut itu kerana kekangan arahan itu," katanya.
Nelayan, Johari Ismail, 60, berkata, dia yang turut sama terjejas simpati melihat nasib penternak lain termasuk mereka yang mempunyai anak-anak bersekolah.
Menurutnya, bukan sahaja terpaksa menanggung kerugian malah panggar kupang milik penternak sering kali menjadi mangsa kecurian oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Malah katanya, terpaksa melakukan pelbagai pekerjaan lain termasuk membuat pukat untuk meneruskan kehidupan demi memastikan mata pencarian keluarga supaya tidak hilang mata pencarian.
"Dua tiga bulan ini memang amat meresahkan kerana anak belajar semua nak guna duit. Kami terpaksa cari kerja lain seperti buang pukat.
"Macam saya umur dah 60 tahun nak kerja kilang pun dah tak boleh," katanya.
Sementara itu, Pengarah Perikanan Negeri, Saufi Affandi Talib yang dihubungi, berkata, pihaknya masih masih memantau dan menjalankan pensampelan secara mingguan disebabkan paras Plankton Alexandrium sp di perairan masih tinggi.
Menurutnya, setakat ini semua dwicengkerang seperti kupang, kerang, lokan dan lain-lain tidak selamat untuk dimakan.
"Oleh itu larangan bagi pengutipan hasil, pengedaran, penjualan termasuk memakannya bagi spesies tersebut masih berkuatkuasa," katanya.
Media pada April lalu melaporkan Jabatan Perikanan (DOF) melarang orang ramai di Melaka memakan dwicangkerang berkuat kuasa serta-merta hingga pemantauan tahap keselamatan bacaan biotoksin berada pada paras yang dibenarkan serta kupang selamat untuk dimakan.
DOF dalam kenyataan memaklumkan hasil analisis dijalankan makmal Biosekuriti DOF terhadap sampel kupang dan air yang diambil dari Sebatu, Melaka menunjukkan kehadiran alga spesies 'Alexandrium' yang berbahaya kepada kesihatan manusia.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!