WASHINGTON - Jambatan Utama Francis Scott yang menjadi laluan perkapalan penting ke Pelabuhan Baltimore, Amerika Syarikat (AS) akhirnya dibuka semula selepas kira-kira 11 minggu insiden runtuhan struktur itu.
Pengumuman pembukaan saluran itu dibuat jurucakap Kor Jurutera Tentera AS pada Isnin selepas tinjauan di lokasi tersebut mengesahkan ia selamat untuk transit.
"Lebih 2,000 pekerja terlibat usaha membaik pulih tersebut. Kami berbangga dengan usaha bersatu semua pihak untuk membuka semula operasi ke pelabuhan tersebut,” ujar Leftenan Jeneral, Scott Spellmon.
Laluan selebar 210 meter itu yang dikenali sebagai Selat Persekutuan Fort McHenry di Sungai Patapsco tidak dapat diakses sepenuhnya sejak rempuhan Dali yang membawa bendera Singapura pada 26 Mac lalu yang turut meragut nyawa enam pekerja.
Ia kemudiannya tersangkut di bawah runtuhan jambatan itu dan meninggalkan kira-kira 50,000 tan sisa konkrit ke dasar sungai yang terpaksa dibersihkan.
Pada Mei lalu, laporan siasatan persekutuan mendapati Dali mengalami dua kegagalan elektrik pada 25 Mac dan terputus bekalan kuasa sepenuhnya ketika ia meninggalkan Baltimore pada keesokan harinya.
Kapal berkenaan dikatakan sempat membuat panggilan kecemasan dan memberi masa selama beberapa minit kepada pegawai bertugas untuk menutup aliran trafik. - Agensi
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!