Reman lelaki tular curi kereta di stesen minyak disambung hingga Jumaat

Iklan
Laporan Sinar Harian.

KUANTAN - Reman terhadap lelaki yang ditahan bagi membantu siasatan kes melarikan kenderaan jenis Honda City di sebuah stesen minyak di Jalan Semambu di sini pada 3 Jun lepas, disambung hingga Jumaat ini.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, polis memohon lanjutan reman terhadap lelaki berusia 40 tahun itu bagi meneruskan siasatan di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan.

Iklan
Iklan

"Suspek disambung reman hingga 14 Jun selepas tempoh reman empat hari sejak 8 Jun lepas berakhir hari ini,” katanya yang dihubungi pada Selasa.

Pada 5 Jun lepas, lelaki itu direman dua hari selepas diberkas sepasukan polis di sebuah rumah yang dicerobohnya di Kampung Chinta Manis, Karak, Bentong setelah tertidur hampir tiga jam di kediaman itu dan reman itu kemudian disambung hingga hari ini.

Iklan

Hasil ujian air kencing mendapati lelaki itu positif dadah selain mempunyai enam rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan jenayah.

Pada 3 Jun lepas, seorang pesara guru wanita melalui detik cemas apabila dilarikan seorang lelaki tidak dikenali menggunakan kereta milik anaknya, dalam kejadian di stesen minyak berkenaan kira-kira jam 3.10 petang.

Iklan

Sebelum kejadian itu, mangsa Napisah Muhammad, 68, bersama suaminya Mohamed Halim Omar, 77, dan anak perempuannya yang merupakan seorang akauntan yang juga pemilik kenderaan terbabit berhenti di stesen minyak itu untuk mengisi minyak serta ke tandas. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!