AMPANG - Seramai 200 kakitangan dari lima Hospital Pakar KPJ dan satu anak syarikatnya melafaz ikrar bebas rasuah di sini pada Selasa.
Ketua Pegawai Eksekutif Wilayah Sentral Hospital Pakar KPJ, Hoo Ling Lee berkata, ikrar bebas rasuah itu adalah aku janji kepada diri sendiri, majikan, rakan sekerja dan komuniti secara amnya.
"Dengan ikrar ini, kami menegaskan komitmen terhadap ketelusan, bersikap terbuka dan jujur dalam komunikasi.
"Selain itu, bertanggungjawab terhadap tindakan dan keputusan kita serta mematuhi piawaian tertinggi dalam tingkah laku profesional," katanya dalam ucapan pada program Ikrar Bebas Rasuah di Hospital Pakar KPJ Ampang Puteri, di sini, pada Selasa.
Ling Lee berkata, objektif inisiatif itu adalah untuk memastikan seluruh warga kerja Hospital Pakar KPJ menjauhkan diri daripada sebarang perlakuan rasuah.
"Kita juga mahu menggalakkan persekitaran inklusif dan berusaha mencapai kualiti tertinggi dan inovasí berterusan," katanya.
Beliau berkata, integriti memerlukan keberanian dan dedikasi.
"Integriti dan bebas daripada rasuah adalah amat penting kerana ia dapat memupuk kepercayaan, meningkatkan kualiti perkhidmatan, memastikan keselamatan pesakit dan mengurangkan risiko, serta motivasi kakitangan Hospital Pakar KPJ.
"Setiap Hospital Pakar KPJ melantik seorang Duta Integriti untuk merancang dan melaksanakan aktiviti-aktiviti pencegahan rasuah di peringkat hospital," katanya.
Turut hadir, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim; Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Hospital Pakar KPJ Ampang Puteri, Ahmad Rafiquddin Mohd Amran; CEO KPJ Damansara, Sharian Hussain dan CEO KPJ Klang Dr Goventhamah Subramaniam.
Majlis itu turut dihadiri CEO KPJ Rawang, Dr Nor Liyana Khairuddin;, Pengurus Operasi KPJ Selangor, Emily Kwan dan CEO Pharmaserv Alliances Sdn Bhd, Ainul Hasnizam.
Sementara itu, Alias berkata, program Ikrar Bebas Rasuah itu bukan bersifat 'one-off' atau kosmetik semata-mata.
"Tetapi, ia harus disusuli dan diperkasakan dengan pelbagai tindakan oleh pengurusan Hospital Pakar KPJ bagi meningkatkan integriti warga institusi ini," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!