SHAH ALAM - Tindakan pengedar dadah menjual serbuk ekstasi pelbagai perisa buah dalam peket minuman berjaya dihidu pihak polis.
Lelaki berusia 30 tahun itu ditahan sepasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Selangor di Klang kira-kira jam 5 petang pada 5 Jun lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, suspek dipercayai aktif pengedar dadah di sekitar Lembah Klang dan berperanan sebagai pengedar.
"Susulan penahanan suspek, polis turut merampas ekstasi seberat kira-kira 1.68 kilogram (kg), pil eramin 5 (7.2kg), ketamin (6.7kg), syabu (4.3kg) dan heroin base (1.1 kg) dianggar kesemuanya bernilai RM4.12 juta.
"Dadah dipercayai dibeli suspek dari tempat lain sebelum suspek menjualnya di pusat hiburan serta pengedar kecil," katanya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini pada Selasa.
Beliau berkata, semakan mendapati suspek memiliki dua rekod lampau berkait kes jenayah.
"Polis turut telah menyita kereta jenis Mercedes Benz CLA200 serta sebentuk cincin untuk tindakan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988.
"Suspek telah direman tujuh hari untuk siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," ujarnya.
Dalam kes berlainan, empat lelaki berusia 30 hingga 50 tahun diberkas pada 6 Jun di sekitar Subang Jaya dan Rawang, Selangor dengan rampasan dadah syabu seberat 20.8 kg bernilai RM666,944.
Katanya lagi, suspek dipercayai aktif di Lembah Klang berperanan sebagai pengedar dan transporter.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!