Perkampungan Tok Senik Langkawi kerugian RM250 juta, bakal dilelong

Iklan
Perkampungan Tok Senik di Langkawi bakal dilelong.

ALOR SETAR - Projek Perkampungan Tok Senik di Langkawi didakwa mengalami kerugian besar sehingga RM250 juta menyebabkan Kementerian Kewangan (MOF) dalam proses melelong pusat peranginan tersebut.

Ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang juga Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin memaklumkan, PAC akan meneliti isu tadbir urus seperti yang dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) berkaitan resort berkenaan.

Iklan
Iklan

"Resort Melayu tradisional itu cantik, tetapi ditutup kerana kerugian besar berjumlah RM250 juta. Kini dalam proses lelongan oleh MOF,” ciapnya di X selepas membuat tinjauan ke tempat peranginan itu bersama ahli PAC lain pada Selasa.

Sebelum ini, Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2022 mendedahkan pengurusan pembangunan hartanah Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) gagal mengutip hasil pajakan tanah projek pembangunan Hotel St Regis sebanyak RM3.19 juta sejak 2018 dan pajakan tanah projek Perkampungan Tok Senik sebanyak RM8.30 juta sejak 2003.

Iklan
Sim Tze Tzin bersama Ahli Jawatankuasa PAC membuat tinjauan ke Perkampungan Tok Senik pada Selasa.

Berikutan itu, PAC mengemukakan lima syornya pada Mac lalu kepada MOF dan LADA untuk dilaksanakan dalam usaha menyelesaikan isu pajakan projek Perkampungan Tok Senik Resort serta Hotel St Regis Langkawi.

Syor tersebut dikeluarkan selepas PAC memanggil beberapa saksi pada 30 November dan 13 Disember 2023.

Iklan

Antara yang dipanggil termasuk Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP), Datuk Johan Mahmood Merican; Timbalan KSP (Pelaburan), Datuk Dr Shahrazat Ahmad serta Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif LADA, Wan Kamarul Faisal Wan Kamardi.

Pada November lepas, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor memaklumkan, status hak milik tanah pusat peranginan mewah itu masih dimiliki LADA dan tidak pernah dipajak kepada sesiapa.

Muhammad Sanusi yang juga Pengerusi Bersama Lembaga Pengarah LADA berkata, pusat peranginan mewah yang beroperasi sejak 2016 belum dapat diselesaikan akibat masalah tadbir urus ketika projek itu mula dibangunkan.

Menurutnya, ia lebih bersifat teknikal dan isu ini wajar dijawab oleh Kementerian Kewangan memandangkan LADA merupakan agensi di bawah kementerian berkenaan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!