Lebihan 10 mld air terawat ditawar kepada Pulau Pinang, selepas LRA Lubuk Buntar siap

Iklan
Laporan Sinar Harian

ALOR SETAR - Tawaran Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menjual air terawat kepada Pulau Pinang melalui Loji Rawatan Air (LRA) Lubuk Buntar Lama, Bandar Baharu bukanlah omong kosong sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Menteri Besar Kedah, tawaran berkenaan dibuat berdasarkan fakta, setelah projek naik taraf LRA Lubuk Buntar Lama siap pada September depan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, bekalan air terawat daripada dua LRA di daerah Bandar Baharu, iaitu LRA Lubuk Buntar Lama (30 juta liter sehari/mld) dan LRA Lubuk Buntar Baru (25 mld) akan menghasilkan sebanyak 55 mld.

"10 mld daripada lebihan bekalan air terawat itu boleh dijual kepada Pulau Pinang untuk kegunaan penduduk kawasan Nibong Tebal yang berjarak 16 kilometer dari daerah Bandar Baharu,” kata kenyataan tersebut.

Iklan

Jelas kenyataan itu lagi, LRA Lubuk Buntar Lama yang beroperasi sejak tahun 1992 pernah membekalkan air terawat ke daerah Seberang Perai Selatan (SPS) di mana jajaran paip masih ada di sempadan dua negeri, di Permatang Pasir, Bandar Baharu.

"Sehubungan itu, kenyataan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid yang mendakwa Muhammad Sanusi membuat tawaran tersebut semata-mata untuk memenangi hati pengundi DUN Sungai Bakap adalah penuh prasangka dan tidak berlandaskan fakta sebenar,” kata kenyataan itu.

Iklan

Pada Ahad, Mahdzir mendakwa tawaran Muhammad Sanusi untuk menjual air kepada Pulau Pinang adalah mustahil berikutan Kedah tidak mempunyai margin atau lebihan air terawat.

Katanya, ketika ini margin air yang digunakan untuk keperluan domestik dan industri di Kedah mencapai tahap 99 peratus dan tiada lebihan untuk dijual.

Sebelum itu pada majlis pelancaran Jentera PRK Perikatan Nasional (PN) Sungai Bakap, Muhammad Sanusi berkata, pihaknya mempunyai lebihan air bersih di LRA Lubuk Buntar dan bersedia untuk salurkan ke Pulau Pinang sekiranya kerajaan negeri itu ingin membelinya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!