'Alami gejala cirit-birit setiap 15 minit'

Iklan
Mohd Jamadil masih menerima rawatan di HKL pada Selasa.

GOMBAK - [DIKEMAS KINI] Seorang guru sebuah sekolah swasta yang menjadi juri pada Program Kemahiran Amal Islami (Kamil) di Sekolah Rendah Agama Integrasi (SRAI) Sungai Chinchin di sini, mengakui mengalami gejala keracunan makanan hingga terpaksa mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Mohd Jamadil Ikmal Safie, 38, berkata, dia mengalami gejala sakit perut, cirit-birit, muntah dan pening kepala selepas lebih empat jam makan sarapan pagi juadah bihun goreng dan telur mata.

Iklan
Iklan

Menurutnya, juadah itu dinikmatinya bersama lima lagi juri pertandingan kira-kira jam 8 pagi di sekolah berkenaan.

"Saya bersama lima lagi juri lain menjamah bihun dan telur goreng di dalam bekas yang disediakan.

Iklan

"Pada masa itu, memang saya akui tidak ada rasa bau basi atau telur separuh masak selain tiada sebarang keraguan untuk menikmati juadah tersebut," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Mohd Jamadil yang menjadi juri hafazan al-Quran memberitahu, beliau tidak mengesyaki juadah itu berkemungkinan tercemar dan terus ke kelas pertandingan.

Iklan

Menurut beliau, keadaannya mula tidak selesa pada kira-kira jam 2 petang sewaktu menghantar anak sulungnya menghadiri program galakan hafazan al-Quran di Masjid Wilayah Persekutuan.

"Sejurus sampai ke rumah kira-kira jam 5 petang, saya mula kerap keluar dan masuk tandas setiap 15 minit kerana alami cirit-birit.

"Saya cuba bertahan, namun keadaan lebih teruk keesokannya apabila mengalami gejala muntah, demam dan sakit kepala," jelasnya.

Bapa tiga anak itu memberitahu, akibat kondisi kesihatannya semakin lemah, beliau kemudiannya menghubungi ibunya untuk menghantarnya bagi mendapatkan rawatan di HKL.

Jelasnya, beliau menerima rawatan di HKL kira-kira jam 12 tengah malam Isnin dan sehingga kini masih dirawat di hospital berkenaan.

"Doktor yang merawat memaklumkan keadaan saya beransur pulih, namun masih lagi mengalami cirit-birit dan perlu dipantau.

"Setakat ini, pihak hospital telah mengambil sampel najis dan keputusan (ujian pensampelan) mengambil sedikit masa untuk diperoleh," ujar beliau.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan, seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun dan pelajar Tingkatan Lima maut dipercayai akibat keracunan selepas memakan bihun dan telur goreng yang dibawa pulang daripada sebuah sekolah di Gombak pada Isnin.

Kedua-dua mangsa meninggal dunia dua hari selepas dipercayai makan bihun dan telur goreng tercemar itu.

Sementara itu, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) memaklumkan seramai 82 daripada 247 orang mengalami gejala keracunan makanan selepas memakan sarapan pagi pada Program Kamil Peringkat Daerah Gombak, Sabtu lalu.

Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Ummi Kalthom Shamsudin berkata, keracunan makanan itu disyaki berpunca daripada bihun goreng dan telur mata yang didakwa sudah berubah rupa dan rasa.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!