PARIT - Program Jelajah Antirasuah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) menjadi platform terbaik kepada pelapis pemimpin negara untuk membudayakan nilai integriti dari awal.
Program dengan usaha sama Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Rasuah Busters itu menyasarkan 2,498 pelajar, 380 guru dan kakitangan MRSM di Pasir Salak, Parit, Taiping dan Sultan Azlan Shah, Kuala Kangsar.
Timbalan Ketua Unit Integriti Mara, Ahmad Sofi Abdullah berkata, tumpuan Jelajah Antirasuah MRSM yang memasuki siri ke-2 itu memfokuskan kawasan zon tengah sebelum diperluaskan ke zon utara.
"Kita fokus penyampaian secara santai agar lebih dekat di hati pelajar sekali gus faham konsep sebenar integriti berikutan pelajar MRSM adalah insan terpilih yang bakal menjadi pemimpin masa depan.
"Dengan pendedahan awal ini pelajar dapat memahami lebih jelas dan mampu menyampaikan kepada rakan dari apa itu integriti, rasuah, kesalahannya dan akibatnya. Pentas ini merupakan asas kepada pelajar memahami isu berkaitan rasuah," katanya kepada Sinar Harian sempena program Jelajah Antirasuah MRSM siri kedua di MRSM Parit pada Selasa.
Turut serta, Ketua Sekretariat Rasuah Busters, Nurhayati Nordin dan Timbalan Pengetua Kecemerlangan Akademik MRSM Parit, Hassan Ghazalli.
Ahmad Sofi berkata, penubuhan Skuad Rasuah Busters juga mampu menjadi pemangkin kepada usaha meningkatkan tahap integriti dalam kalangan pelajar MRSM.
"Unit Integriti Mara mencadangkan untuk mewujudkan skuad berkenaan supaya pelajar-pelajar ini dapat menyertai dan menjadi nilai tambah kepada gerakan anti rasuah sedia ada.
"Kita mencadangkan ia ditubuhkan secara berperingkat bermula zon tengah dan pelancarannya akan diadakan pada siri ketiga, Ogos ini di Perak," katanya.
Bagi Hassan, Jelajah Antirasuah dilihat dapat membentuk integriti dan kecemerlangan pelajar.
"Kes-kes berlakunya penyelewengan dan salah laku integriti kerana isu ini tidak diajar dari awal bermula sekolah rendah atau sepatutnya dari rumah.
"Bagi saya kita perlu tanam rasa takut kepada tuhan serta ikhlas supaya setiap cabaran dapat diatasi," katanya.
Sementara itu pelajar, Daim Darwisy Mohd Azmil, 16, berkata, pendedahan dalam kes-kes berkaitan dengan rasuah telah membuka matanya terhadap impaknya kepada diri sendiri dan negara.
"Rupa-rupanya rasuah melibatkan elemen pemberi dan penerima itu merangkumi semua faktor bukan wang semata-mata.
"Ternyata ia akan memberi kesan berantai kepada kehidupan seseorang termasuk kehilangan nyawa insan tersayang," katanya.
Bagi Siti Maryam Salman, 16, pendedahan yang diterima dalam Jelajah Antirasuah itu akan dikongsikan kepada rakan dan ahli keluarga agar dapat membentuk integriti kukuh.
"Walaupun tidak pernah berhadapan dengan situasi yang melibatkan unsur-unsur berkaitan rasuah, sekurang-kurangnya pendedahan yang diterima akan dijadikan pendinding untuk masa depan.
"Pembentukan integriti diri melibatkan elemen kejujuran dan sewajarnya saya sebagai pelajar dan rakan perlu menunjukkan contoh yang baik agar mesej rasuah ini disebar secara tidak langsung," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!