PENGENDALI Harimau Malaya, Kim Pan-gon menyatakan hasrat untuk terus kekal membimbing pasukan negara selepas berakhirnya kempen Kumpulan D Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 pada Selasa.
Namun, beliau menegaskan keputusan untuk kekal itu tidak berada di tangannya sebaliknya bergantung kepada kemahuan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
"Jika anda paksa saya tinggalkan pasukan, saya akan tinggalkan pasukan. Saya meletakkan usaha di sini, masa demi masa saya pun penat tetapi tetap berjuang sehabis baik.
"Tetapi ia (kekal) bukan keputusan saya tetapi FAM dan kelab. Saya tidak pernah minta untuk tinggalkan pasukan dan saya mahu kekal sehingga Piala Asia akan datang," katanya dalam sidang akhbar selepas perlawanan menentang Taiwan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Selasa.
Dalam perlawanan terakhir kumpulan itu, Taiwan terlebih dahulu berada di depan menerusi jaringan Yu Yao-hsing pada minit ke-20.
Malaysia bangkit menerusi tiga gol pada separuh masa kedua hasil jaringan Safawi Rasid, Paulo Josue dan Muhammad Adib Raop.
Mengulas mengenai perlawanan itu, Pan-gon mengakui peluang Harimau Malaya untuk mara ke Pusingan Ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 agak tipis.
"Kami tidak dapat menjaringkan tujuh dan gol ia sangat menyakitkan.
"Saya mengambil risiko pada awal permainan dan berlaku beberapa kesilapan dan kita berikan mereka gol.
"Separuh masa kedua, kami menukar permainan dan menang 3-1. Ia sesuatu yang positif dan bukti kekuatan mental pemain Harimau Malaya. Terima kasih kepada penyokong yang terus memberikan sokongan," katanya.
Kegagalan mendapatkan jaringan besar menyaksikan skuad negara gagal mengatasi defisit gol yang dimiliki pasukan di kedudukan kedua Kumpulan D, Kyrgyzstan.
Malaysia perlu mengharapkan keajaiban Oman menewaskan Kyrgyzstan dengan jaringan besar dalam satu lagi aksi di Muscat untuk membolehkan skuad negara mara.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!