Bila anak Melayu pandai bahasa Cina

Iklan
Anak Melayu perlu bermula daripada awal untuk belajar bahasa Cina kerana ia bukan bahasa pertuturan mereka. Gambar hiasan media sosial

DATA Persatuan Jawatankuasa Sekolah Cina dan Persatuan Guru Sekolah Cina Malaysia (Dong Jiao Zong) serta Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mendapati jumlah murid bukan Cina di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) telah meningkat setiap tahun.

Pada 1989, jumlahnya hanya 3.05 peratus. 10 tahun kemudian (1998) meningkat kepada 8.66 peratus dan pada 2010 menjadi 11.84 peratus. Maklumat terkini pada 2020 menunjukkan seramai 101,011 murid bukan Cina menuntut di SJKC dengan 19.75 peratus.

Iklan
Iklan

Ketika ini murid bukan Cina yang merangkumi Melayu, India, Orang Asli dan warga asing membentuk kira-kira 20 peratus daripada jumlah pendaftaran di SJKC seluruh negara.

20 peratus angka yang besar dan ia tentu akan meningkat lebih tinggi apabila menghantar anak ke sekolah berkenaan menjadi sesuatu yang normal.

Iklan

Apakah yang menyebabkan ibu bapa bukan Cina menghantar anak mereka ke sekolah Cina? SJKC menjadi pilihan atas beberapa faktor, antaranya kerana sekolah itu berdekatan dengan rumah.

Mereka juga percaya SJKC mempunyai sistem pembelajaran dan disiplin murid yang baik dengan tenaga pengajar berkualiti.

Iklan

Cuma, anak mereka perlu bermula daripada awal untuk belajar dan menyesuaikan diri sama ada dari segi bahasa atau budaya baharu kerana bahasa Cina bukan bahasa pertuturan mereka.

Walaupun terpaksa berdepan persekitaran bukan kebiasaan, namun ia adalah halangan sosio-psikologi yang bersifat sementara.

Halangan dalam pembelajaran bahasa dan masalah komunikasi dengan rakan sekelas adalah cabaran tidak dapat dielakkan.

Namun, kanak-kanak mudah mengadaptasi diri dalam apa juga suasana baharu akan segera berasa selesa dengan persekitaran tersebut.

Malah, mereka pula akan mempengaruhi ibu bapa apabila mengajar sepatah dua bahasa Mandarin bila pulang ke rumah.

Walaupun bahasa Melayu begitu meluas digunakan dan bahasa Inggeris menjadi bahasa korporat, bahasa Cina pula mempunyai nilai ekonomi tersendiri.

Banyak peluang pekerjaan akan terbuka kepada mereka yang tahu berbahasa Cina terutama Mandarin. Majikan Cina biasanya menyatakan ‘keutamaan akan diberi kepada mereka yang pandai berbahasa Mandarin’ di dalam iklan perjawatan syarikat.

Trend itu bakal memperlihatkan perubahan landskap sosial yang menarik. Dalam lima hingga 10 tahun mendatang, kita akan biasa melihat budak-budak Melayu bercakap Cina dengan orang Cina dan orang Cina bercakap Cina dengan orang Melayu.

Melayu ialah bangsa yang mudah menyesuaikan diri dengan keadaan. Orang Melayu biasa bertutur telo Cina bila berbual dengan kaum Cina atau bertutur telo India bila bercakap dengan kaum India.

Istilah ‘kongsi,’ ‘ahli’ ‘lu’ ‘gua’ ‘pokai’ ‘tauke’ ‘amoi’ ‘apek’ dan ‘bo liau’ sudah lama menjadi istilah Cina yang digunakan dalam pertuturan orang Melayu.

Bahasa adalah sesuatu yang dinamik. Kita akan lihat lebih banyak istilah Cina yang akan dipilih menjadi perbendaharaan bahasa Melayu kelak.

Perkembangan itu tidak boleh tidak, akan menjadi normalisasi. Apabila lebih ramai anak Melayu bersekolah Cina dan pandai berbahasa Cina, mereka sebenarnya menjadi ejen sosial asimilasi kaum. Asimilasi lebih larut ‘gaulannya’ berbanding integrasi.

Jika selama ini ada pihak bimbang SJKC bakal melambatkan integrasi kaum, bagaimana pula nanti bila orang Melayu pula mengasimilasi dengan budaya Cina melalui bahasa Cina sendiri?

Yang kita akan lihat ialah persefahaman di antara kaum akan lebih menyerlah apabila lebih ramai orang Melayu pandai berbahasa Cina.

Sesiapa sahaja akan ‘jatuh hati’ bila bertemu dengan seseorang yang pandai bertutur dalam bahasa ibundanya.

Tentu sekali orang Cina akan lebih selesa dengan orang Melayu yang pandai berbahasa mereka.

Bahasa ialah budaya. Seseorang itu lebih mudah memahami budaya sesuatu bangsa apabila dapat menguasai bahasa bangsa itu.

Orang politik perlu membuka minda dengan melihat perkembangan tersebut daripada kaca mata kejuruteraan sosial.

Naratif baharu untuk membangun negara bangsa perlu dicari. Orang politik tidak perlu asyik bercekau berpolemik sama senegara akibat curiga mencurigai hingga kita tercicir dalam perlumbaan di medan dunia.

Padahal rakyat biasa hari-hari boleh duduk semeja sambil menghirup teh tarik!

* Norden Mohamed ialah mantan Ketua Pengarang Sinar Harian

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!