PEMINAT sukan ketika ini masih berteka-teki mengenai sasaran pingat kontinjen negara ke Sukan Olimpik Paris 2024 ketika temasya terbesar dunia itu berbaki 44 hari lagi.
Tumpuan sudah pasti kepada impian untuk menggapai pingat emas sulung buat Malaysia yang dipacu dengan kewujudan Program Road To Gold (RTG) bagi mendokong cita-cita besar itu.
Timbul juga persoalan sama ada Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan Majlis Sukan Negara (MSN) mahu meneruskan sasaran tanpa menetapkan warna pingat.
Ia seperti dipraktiskan kontinjen negara yang meraih enam emas, lapan perak dan 18 gangsa pada Sukan Asia Hangzhou 2022 yang disifatkan oleh MSN sebagai kejayaan terhadap pendekatan sasaran tanpa warna pingat.
Mengulas perkara itu, Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, mekanisme terbaik perlu diputuskan dalam mesyuarat, sebelum ia diumumkan secara rasmi.
Malah beliau berkata, satu mesyuarat bersama Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh akan diadakan sebelum sebarang keputusan dibuat.
Beliau ditemui media selepas majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian bagi penyaluran peruntukan kewangan kepada Persatuan Sukan Kebangsaan (PSK) melalui kaedah empowerment bagi tahun 2024 di MSN, Bukit Jalil pada Selasa.
Mohamad Norza turut menjelaskan tidak mahu kontinjen negara berada dalam keadaan tertekan kerana setiap atlet memasang impian untuk beraksi pada Sukan Olimpik.
"Mereka sudah berusaha selama empat tahun untuk ke sana dan ini adalah langkah akhir untuk kita memberi sokongan sekuat-kuatnya kepada mereka,” katanya.
Beliau juga menjangkakan kontinjen Malaysia ke Paris akan diwakili 24 hingga 25 atlet.
"Setakat ini kita ramalkan saiz kontinjen dalam 24 atau 25 orang, namun masih menunggu hingga ke hujung bulan ini, jika ada penambahan atlet,” ujar Mohamad Norza.
Sukan memanah giat bersaing dalam pusingan kelayakan untuk memburu slot acara berpasukan pada kejohanan di Antalya 15 hingga 16 Jun ini.
Beberapa atlet terjun juga masih menanti menerusi slot atlet simpanan selain olahraga yang masih menunggu tiket wildcard.
Sebagai rekod antara sandaran emas pertama negara di Paris adalah menerusi jaguh berbasikal trek, Datuk Azizulhasni Awang dan dua wakil badminton, Lee Zii Jia serta Aaron Chia-Soh Wooi Yik.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!