MAKKAH - Persediaan operasi Masyair telah siap sepenuhnya bagi menyambut 31,600 jemaah haji Malaysia ke bumi Arafah, Muzdalifah dan Mina bermula Jumaat ini, 14 Jun 2024 bersamaan 8 Zulhijjah 1445H.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata, semua kemudahan dan perkhidmatan yang disediakan oleh Tabung Haji (TH) adalah sangat sistematik dan bertaraf antarabangsa.
"Ini bagi memastikan pergerakan, penempatan dan urusan makan minum dapat disediakan dengan lebih baik selain memastikan jemaah selesa semasa melakukan ibadat haji terutama sewaktu wukuf,” katanya dalam sidang media semalam.
Beliau sebelum itu telah melawat Ibu Pejabat TH di Makkah dan turut diberi taklimat penuh oleh pengurusan TH bagi memahami secara keseluruhan operasi haji tahun ini.
Menurutnya, perkhidmatan sokongan seperti perubatan juga pada tahap yang terbaik dan pasukan perubatan telah memberikan perkhidmatan terbaik kepada jemaah haji Malaysia sejak tiba di Tanah Suci.
"Insya-ALLAH, dengan berbaki tiga hari lagi, semua jemaah dan petugas haji akan memulakan pergerakan ke Arafah. Ini merupakan pergerakan terbesar di dunia, dengan hampir 2 juta orang menuju ke destinasi yang sama,” katanya.
Sementara itu, beliau memberitahu, kesemua 31,600 jemaah haji Malaysia telah selamat berada di Makkah setelah penerbangan terakhir tiba pada hari Ahad, 9 Jun lalu.
Beliau berkata, jemaah haji Malaysia memang diiktiraf sebagai jemaah haji yang berdisiplin dan mempunyai sikap yang baik selain berilmu.
Oleh itu, Mohd Naim mengingatkan agar jemaah haji Malaysia mengekalkan sikap terpuji tersebut dan sentiasa jaga nama baik negara.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!