NAFAS umum kadar dividen sembilan peratus

Iklan
Mohamad (tengah) melancarkan pengumuman kadar dividen sembilan peratus SPKP-DPK bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 di Putrajaya pada Isnin.

PUTRAJAYA - Dana Peladang Kebangsaan (DPK) di bawah Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) perlu memperkenalkan produk pelaburan yang lebih menarik serta relevan bagi menarik pelaburan ahli dalam kalangan golongan muda.

Saranan itu dilontarkan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) Datuk Seri Mohamad Sabu, yang mana berdasarkan profil keahlian, majoriti pelabur didapati adalah daripada kalangan ahli berusia 60 tahun ke atas berbanding ahli dalam usia pertengahan dan muda.

Iklan
Iklan

"Justeru, DPK perlu mencari satu kaedah baharu bagi menarik pelaburan ahli dalam kumpulan umur pertengahan dan muda. Pelaburan dalam teknologi hijau atau ‘start-up’ (pelaburan pemula) sebagai contoh, mungkin lebih dekat dan menarik minat golongan ini (pertengahan dan muda).

"Satu produk difikirkan boleh direka bentuk dengan struktur fleksibel dengan permulaan modal yang rendah sekali gus memudahkan akses kepada golongan ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Pengumuman Dividen Skim Pelaburan Khas Peladang (SPKP) - DPK Bagi Tahun 2023, di sini pada Isnin.

Iklan

Turut hadir, Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Datuk Mahfuz Omar, Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan LPP yang menjalankan tugas KP LPP Amir Matamin, Pengerusi Jawatankuasa Pemandu DPK, Datuk Ali Shikh Ahmad dan Pengurus Besar NAFAS, Muhammad Faris Arriffin.

Terdahulu, Mohamad mengumumkan kadar dividen SPKP - DPK sebanyak sembilan peratus bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023.

Iklan

Kadar dividen berkenaan membabitkan enam peratus dividen dan tiga peratus bonus untuk pelaburan RM50,000 pertama. Turut diumumkan tambahan satu peratus hibah untuk Akaun Simpanan Biasa Al-Wadiah DPK.

DPK mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM16.2 juta dengan keseluruhan agihan dividen dan bonus sebanyak RM12.2 juta bagi tempoh sama. Peratusan agihan pula adalah 76 peratus daripada keuntungan bersih yang memberi manfaat kepada 8,500 pelabur.

Prestasi dan dividen

Mohamad (tengah) bersama Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang, Datuk Mahfuz Omar (enam dari kanan) dan Ahli Jemaah Pengarah NAFAS, Datuk Ali Shikh Ahmad (enam dari kiri) bergambar bersama wakil pelabur tertinggi dari PPN dan PPK.


Dalam pada itu, Mohamad turut berpuas hati dengan prestasi DPK yang ketika ini mencapai jumlah aset berjumlah RM288 juta dengan pelaburan dalam sektor kewangan.

Prestasi itu katanya, membuktikan keberkesanan strategi pelaburan serta keupayaan unit perniagaan strategik peladang itu memberikan pulangan yang stabil serta kompetitif kepada para pelaburnya.

Pada masa sama, Mohamad menyifatkan, golongan umur pertengahan dan muda merupakan antara elemen penting kepada kelestarian ekosistem pelaburan peladang pada masa depan.

Memastikan kelestarian itu katanya, satu kempen pemasaran yang agresif dan relevan perlu dilaksanakan yang menyasarkan ahli-ahli golongan muda di samping meningkatkan lagi program pendidikan kewangan yang interaktif.

"Program pendidikan kewangan yang mudah difahami dan interaktif boleh dilaksanakan oleh DPK bagi meningkatkan pengetahuan kewangan di kalangan mereka (ahli-ahli muda)," jelas beliau.

Ujar Mohamad, NAFAS dan DPK perlu terus meneroka peluang pelaburan baharu, mengoptimumkan pengurusan tunai dan melakukan transformasi digital.

"Selain itu NAFAS dan DPK juga perlu meningkatkan kualiti perkhidmatan, nilai tambah produk serta memperkasa pemasaran bagi mencapai matlamat strategik yang telah ditetapkan," ujarnya.

Pada masa sama, antara usaha-usaha lain kata Mohamad, ialah melaksanakan pengukuhan sistem tatakelola dan pentadbiran yang termaktub dalam Pelan Inovasi Keterjaminan Agro Makanan Rakyat (PINTAR) yang dilancarkan pada awal tahun ini.

Go Invest

Sementara itu, Muhammad Faris berkata, DPK berjaya melaksanakan penambahan pelaburan sebanyak RM15.2 juta menerusi pelaksanaan Kempen Penambahan Pelaburan SPPK-DPK (Go Invest) pada pada Julai 2023 sehingga Mac tahun ini.

PPN Sarawak yang membuat penambahan sebanyak RM2 juta bagi tempoh itu telah dinobatkan sebagai penerima hadiah utama sekali gus membawa pulang RM5,000.

Sementara itu, PPN Pahang membuat penambahan RM1 juta dan RM300,000 bagi PP Kawasan (PPK) MADA E-IV Bukit Besar masing-masing berjaya merangkul tempat kedua dan ketiga serta membawa pulang hadiah berjumlah RM3,000 dan RM2,000.

Dalam pada itu, enam entiti direkodkan sebagai pelabur tertinggi SPKP-DPK melebihi RM3 juta iaitu NAFAS, Pertubuhan Peladang Negeri Selangor, PPK Hutan Melintang, PPK Kuala Selangor, PPK Seberang Perak dan PPN Sarawak.

"DPK juga sedang meneroka pelaburan baharu dalam portfolio pelaburan jangka pendek dan panjang selain terlibat dalam langganan Saham Tawaran Permulaan Awam (IPO),” jelas Muhammad Faris.

Pada masa sama, DPK turut menawarkan pembiayaan dan pelaburan usaha sama dengan jumlah terkumpul lebih RM25 juta meliputi projek pertanian seperti tanaman sawit dan fertigasi, stesen minyak, sewa beli jentera yang dapat dimanfaatkan oleh rangkaian PP dan ahli di seluruh negara.

Reaksi

ABDUL RAHMAN

"DPK mempunyai potensi besar untuk meraih keuntungan menyebabkan Pertubuhan Peladang berkeyakinan untuk melabur dengan jumlah tinggi.”- Pengerusi Pertubuhan Peladang Negeri Selangor, Datuk Abdul Rahman Bakri.

MEHED OTHMAD

"Dengan hasil pulangan pelaburan DPK, kita telah menambah aset persatuan iaitu lot tanah sawah yang mana sebanyak 12 hektar sawah telah dimiliki.”- Pengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan MADA E-IV Bukit Besar, Mehed Othmad.