KANGAR - Seorang pengurus kuari yayasan milik kerajaan negeri Perlis ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perlis bagi membantu siasatan berhubung kes salah guna kuasa membabitkan pembelian dua lot tanah dianggarkan bernilai lebih RM1.8 juta, semalam.
Menurut sumber, pengurus kuari dan broker masing-masing berusia 53 dan 51 tahun itu ditahan di Pejabat SPRM Perlis selepas hadir untuk memberi keterangan pada jam 5.40 petang.
Iklan
Iklan
"Siasatan awal mendapati pengurus kuari terbabit disyaki bersubahat dengan broker berkenaan bagi membeli dua lot tanah di Mukim Kurong Anai, Perlis yang dianggarkan bernilai lebih RM1.8 juta.
"Pembelian tanah itu dipercayai dibuat tanpa kelulusan Ahli Lembaga Pengarah yayasan milik kerajaan negeri Perlis. SPRM sedang mengesan beberapa lagi individu bagi membantu siasatan kes itu,” katanya.
Sumber berkata, kedua-dua suspek kini disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 dan dibawa ke Mahkamah Majistret Kangar untuk permohonan perintah reman, hari ini.
Sementara itu, Pengarah SPRM Perlis, Mohd Shukor Mahmud ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu namun enggan mengulas lanjut.
Artikel Berkaitan